Kali ini nelayan Labuan pula terima bantuan LKIM
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meneruskan program Rahmah Mesra Madani untuk memberikan bantuan, kali ini kepada nelayan di Labuan.
Sumbangan peralatan touch point termasuk pukat, bubu, tong ikan berinsulasi dengan peruntukan sebanyak RM45,000 di bawah Program Peningkatan Pendapatan/Insentif Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point), termasuk sebuah sampan dan 2 buah enjin bot 15 kuasa kuda kepada nelayan aktif tetapi daif.
Bagi meningkatkan keupayaan golongan nelayan muda dalam bidang perikanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan bantuan melalui Geran Agroprenuer Muda (RM30,000 seorang) dengan sumbangan duabuah enjin 40 kuasa kuda kepada tiga orang nelayan muda yang terlibat secara aktif di dalam tangkapan ikan tuna.
Geran tersebut akan digunakan untuk menjadikan Labuan hub tuna pertama selaras dengan hala tuju Pelan Strategik LKIM.
Terdapat 769 orang nelayan di Labuan. Seramai 150 menjadi penerima elaun sara hidup manakala 208 vessel penerima subsidi minyak melibatkan 127 vessel subsidi petrol (Zon A) dan subsidi diesel pula melibatkan 38 vessel (Zon A), 31 vessel (Zon B) dan 12 vessel (Zon C).
Pengerusi LKIM Faiz Fadzil optimistic bahawa perikanan Labuan berpotensi untuk dimajukan dengan sokongan tangkapan ikan tuna dan membantu mencapai agenda keterjaminan makanan memandangkan tangkapan dan pendaratan ikan berjumlah 3201 metrik tan pada 2024.
Di bawah Program Khas Perumahan Nelayan tiga buah rumah baharu telah dibina dan empat buah rumah telah dibaik pulih pada tahun lalu. Sebuah rumah baharu telah dibina untuk seorang nelayan dan diserahkan semalam.
“Saya mengingatkan nelayan dan persatuan nelayan memastikan tiada pelanggaran tatacara dalam pengendalian subsidi dan insentif yang menjurus kepada keciciran dan penyelewengan.
“Saya turut menekankan keperluan nelayan terutama persatuan nelayan menguasai semua nilai rantaian perniagaan perikanan termasuk bidang pemasaran, akuakultur dan hiliran supaya projek ekonomi dan hasil tangkapan dipelbagaikan untuk meningkatkan pendapatan dalam usaha menaik taraf sosio-ekonomi nelayan.
“Saya turut tekankan peranan persatuan nelayan untuk transform sebagai entiti perniagaan supaya menguasai setiap nilai rantaian perniagaan perikanan melalui agenda 1P1P (1 Persatuan 1 Produk) supaya persatuan nelayan mampu menjadi pemangkin kepada kemantapan ekonomi ahli-ahli nelayan agar visi ‘nelayan jaga nelayan’ tercapai.”
Faiz berkata demikian dalam acara yang diadakan di Kompleks Perikanan LKIM Kiamsam, Labuan semalam.
BACA JUGA: Nelayan Manjung Selatan peroleh pelbagai bantuan LKIM