Masjid Nurul Amin mercu tanda baharu Merbau Sempak, MB Selangor Sempurnakan penyerahan projek RM10.8 juta

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Projek Membina Semula Masjid Nurul Amin, Merbau Sempak oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor di Masjid Nurul Amin, Merbau Sempak Gombak Selangor. 12hb Februari 2026 (Khamis)

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penyerahan Projek Membina Semula Masjid Nurul Amin, Merbau Sempak dalam satu majlis penuh bermakna yang diadakan di pekarangan masjid berkenaan.

Majlis yang dianjurkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu menandakan siapnya pembinaan semula masjid berkenaan yang telah bermula pada 3 Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada 15 Januari 2026 sebelum diserahkan secara rasmi hari ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Amirudin melahirkan rasa syukur atas kejayaan menyiapkan projek tersebut walaupun berdepan beberapa isu teknikal yang menyebabkan sedikit kelewatan.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kita dapat bersama-sama menyaksikan penyerahan sebuah masjid baharu yang sekian lama dinantikan oleh ahli kariah Merbau Sempak. Masjid ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi simbol kesatuan dan kekuatan ummah,” katanya.

Masjid Nurul Amin yang dibina dengan kos keseluruhan RM10.8 juta itu mampu menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Ia menggantikan masjid lama yang telah uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah penduduk setempat.

Pembinaan masjid ini dibiayai melalui peruntukan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Menteri Besar, kedudukan strategik masjid tersebut yang berhampiran kawasan penempatan sedia ada dan pembangunan baharu dijangka akan terus meningkatkan pengimarahan masjid pada masa akan datang.

Beliau turut menyeru agar pengurusan masjid memainkan peranan lebih proaktif dalam menghidupkan fungsi masjid sebagai institusi pembangunan ummah yang menyeluruh, bukan sekadar tempat beribadah.

“Sirah Nabawi membuktikan Masjid Quba dan Masjid Nabawi berfungsi sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan dan penyatuan masyarakat. Konsep ini perlu diterjemahkan dalam pengurusan masjid kontemporari agar masjid terus relevan dan berdaya saing,” ujarnya.

Tambah beliau, JAIS melalui Bahagian Pengurusan Masjid telah menyediakan kerangka dan modul pengurusan bagi memperkasa pentadbiran masjid di negeri ini supaya mampu menjadi institusi contoh dari segi tadbir urus dan pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar Masjid Nurul Amin dijadikan sebagai “zon aman” yang menyatukan masyarakat tanpa sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti atau perpecahan.

“Tiada yang untung jika masyarakat berpecah. Jadikanlah masjid sebagai tempat penyatuan ummah, memupuk persaudaraan Islam, serta memberi khidmat terbaik kepada seluruh ahli kariah,” tegasnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah JKR Negeri Selangor, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Dato’ Ir. Haji Cheremi Tarman, Pengarah JAIS YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad serta barisan kepimpinan agama dan komuniti setempat.

Dengan siapnya Masjid Nurul Amin, penduduk Merbau Sempak kini mempunyai sebuah institusi ibadah yang lebih selesa dan moden, sekali gus diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan rohani, sosial dan ekonomi masyarakat setempat.
