NAFAS lancar pelan reformasi 2.0 perkukuh tadbir urus, catat keuntungan tertinggi dalam sejarah

FOTO BERITA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memulakan langkah proaktif menerusi Pelan Reformasi NAFAS 2026–2030 (NAFAS 2.0) yang bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing sebagai kerangka menyeluruh memperkukuh integriti, kelestarian serta daya saing institusi demi kepentingan warga peladang di seluruh negara. Pelan tersebut memfokuskan lima teras strategik utama iaitu Tadbir Urus dan Kepimpinan Organisasi; Perundangan dan Pematuhan; Pengurusan Perolehan; Model Perniagaan dan Kelestarian Kewangan; serta Strategi Komunikasi dan Pemulihan Kepercayaan Awam. 11hb Februari 2026. (Gambar: NAFAS)

Sebagai simbol komitmen terhadap agenda pembaharuan ini, NAFAS telah menyerahkan dokumen rujukan strategik Pelan Reformasi NAFAS 2.0 kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Penyerahan itu mencerminkan kesinambungan usaha penstrukturan semula yang bermula sejak 2023, sekali gus menyelaraskan hala tuju NAFAS dengan dasar agromakanan negara.

Dalam sesi taklimat khas, Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Mat Amin; serta Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin membentangkan kemajuan reformasi yang merangkumi penambahbaikan pengurusan kewangan, proses perolehan dan tadbir urus korporat. Sesi itu menegaskan komitmen bersama NAFAS dan LPP untuk meletakkan NAFAS sebagai institusi milik peladang yang diurus secara profesional, telus dan berakauntabiliti.

NAFAS turut melakar sejarah apabila mencatat keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya pada 1972, dengan keuntungan RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025. Pencapaian ini hadir selepas organisasi itu merekodkan kerugian besar sebanyak RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023. Pemulihan tersebut digerakkan melalui pengukuhan aliran pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan yang sebelum ini mengalami kerugian, serta pemantapan kawalan dalaman organisasi.

Dalam tempoh sama, NAFAS berjaya memperoleh kontrak pembekalan input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2028. Selain itu, penyertaan aktif dalam tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan pasaran terbuka telah menyumbang hampir RM1 bilion kepada hasil kumpulan. Langkah agresif turut dilaksanakan bagi mengutip tuntutan bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan.

Sebagai sebahagian daripada agenda rasionalisasi pelaburan, NAFAS menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta. Tindakan itu menjana penjimatan tahunan sekitar RM5 juta, membolehkan sumber difokuskan kepada entiti yang berdaya saing dalam bidang input pertanian, perkhidmatan agronomi dan teknologi pertanian. Tadbir urus korporat turut diperkasa melalui pemisahan fungsi pembuat dasar dan pelaksana, serta penambahbaikan proses perolehan berasaskan prinsip persaingan adil dan nilai terbaik.

Dengan kedudukan kewangan yang semakin kukuh, NAFAS kini berada pada posisi terbaik untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah dengan lebih efisien, selaras kapasiti pengeluaran sebanyak 360,000 metrik tan setahun. Dalam ucapannya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa reformasi tersebut bertujuan melindungi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang agar aset organisasi diurus secara bertanggungjawab demi pulangan yang adil kepada akar umbi.

Penyerahan pelan ini menandakan peralihan NAFAS daripada fasa pemulihan kepada fasa pengukuhan dan pengembangan, selari dengan agenda Keterjaminan Makanan Negara serta kerangka Malaysia MADANI.