Perintah reman dibatal, Mahkamah Tinggi arah aktivis Tamim Dahri dilepaskan

Aktivis Tamim Dahri dan tiga rakannya yang sebelum ini ditahan reman telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk dilepaskan serta merta.

Menurut peguam, Aidil Khalid, keputusan itu dibuat selepas mahkamah memanggil kes berkenaan untuk semakan semula.

“Alhamdulillah, setelah semakan dibuat, Mahkamah Tinggi membatalkan penahanan reman dua hari terhadap Tamim Dahri dan tiga sahabatnya yang diberikan oleh majistret pagi tadi. Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka dilepaskan serta merta. Takbir,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang membenarkan reman dua hari bermula dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah selepas merobohkan kuil di Taman Rawang Perdana awal pagi semalam.

Tamim bersama tiga individu lain ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 dan Seksyen 295.