16 MP Bersatu sokong desakan Kiandee, gesa Mahiaddin berundur Presiden Bersatu
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan 15 wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Whip Dewan Rakyat parti, Ronald Kiandee, yang mendesak agar Tan Sri Mahiaddin Yassin segera meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu.
Dalam satu kenyataan media sebentar tadi, Wan Saiful berkata desakan mereka itu memandangkan Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan.
Namun, dalam masa sama, beliau yang telah dipecat sebagai ahli Bersatu pada Oktober tahun lalu berkata, jasa dan sumbangan Mahiaddin sebelum ini tidak dinafikan.
Menurutnya, kepimpinan baharu diperlukan bagi memulihkan keyakinan akar umbi serta mengembalikan fokus perjuangan parti kepada agenda rakyat dan negara.
Wan Saiful dan kumpulan Ahli Parlimen berkenaan turut menyatakan keyakinan bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mampu memikul peranan sebagai Pemangku Presiden sekiranya berlaku peralihan kepimpinan.
“Kami yakin Hamzah Zainudin mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan rakyat dan negara serta menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” kata Wan Saiful lagi.
Kenyataan itu turut menyenaraikan 15 Ahli Parlimen selain Wan Saiful, yang menolak kepimpinan Mahiaddin.
Mereka terbabit adalah Ahli Parlimen Kangar, Zikri Hassan, Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Turut menyatakan pendirian yang sama Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Sri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) serta Islahuddin Abas (Mersing).
Pendirian terbaharu 16 Ahli Parlimen Bersatu terbabit sekaligus mewakili blok besar dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
BACA JUGA Kunjungan MB Kelantan tarik perhatian, PM Anwar dilihat jayakan prinsip Tuan Guru Nik Aziz