Aktivis imbas kembali hasil petroleum mula disalur ke akaun negeri Kelantan sejak bila
Aktivis, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, penyaluran hasil bumi petroleum ke akaun kerajaan negeri hanya bermula secara nyata pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 sekitar 2019, selepas bertahun-tahun perjuangan menuntut hak royalti.
Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz berkata, beliau pernah bersama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperjuangkan isu royalti petroleum sejak 2009.
Perjuangan itu jelasnya, berlanjutan sehingga selepas Mursyidul Am Pas juga bekas Menteri Besar Kelantan berkenaan meninggal dunia pada 12 Februari 2015.

“Paling bermakna apabila bersama arwah memperjuangkan isu royalti. Bermula 2009 kami berjuang, arwah pergi buat selama-lamanya pada 2015.
“Pada 2019, ketika PH 1.0, barulah duit hasil bumi petroleum mula masuk secara nyata ke akaun kerajaan negeri, ratus juta setahun,” katanya menerusi kenyataan yang bernada penghormatan kepada Nik Aziz yang digelarnya ‘mantan bos’ beliau.
Syam Ghaz yang sebelum ini merupakan aktivis kumpulan Royalti Malaysia dan Royalti Kelantan menyifatkan perkembangan itu sebagai antara detik penting dalam usaha panjang menuntut hak negeri terhadap hasil petroleum.
Beliau turut mengimbau pengalaman bekerja di bawah Nik Aziz di sebuah pusat kajian strategik sebelum berpindah ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut dipengerusikan oleh Allahyarham.
Dalam satu kenyataan pada 2019, Syam Ghaz menegaskan Kerajaan Persekutuan diterajui PH 1.0 ketika itu telah membuat bayaran royalti lima peratus kepada kerajaan megeri sejak 21 Februari 2019.
Beliau turut menyenaraikan nilai sebenar jumlah diterima dan tarikh penerimaan iaitu:
- 21hb Feb 2019 – RM9,467,277.56
- 26hb Mac 2019 – RM3,155,759.19
- 18hb Sep 2019 – RM 15,749,561.50
Jumlah keseluruhan: RM28,372,598.25
Sehubungan itu, beliau ketika itu mengingatkan kerajaan negeri Kelantan supaya jujur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya mempolitikan isu tersebut kononnya ia pemberian ‘wang ehsan’.
Dana tersebut, jelasnya, adalah wang royalti lima peratus yang disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri Kelantan mengikut Perjanjian Kelantan – Petronas 1976.
BACA JUGA BNP menang besar pilihan raya, undian pertama Bangladesh selepas aksi protes Gen Z