Ekonomi 2025 melepasi jangkaan, pertumbuhan suku keempat cecah 6.3% – Fahmi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa angka terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2025 menunjukkan prestasi ekonomi negara lebih baik daripada jangkaan.

Beliau berkata, pertumbuhan sebenar ekonomi bagi suku keempat 2025 mencatatkan 6.3 peratus, jauh mengatasi unjuran awal sebanyak 5.2 peratus.

“Ini satu pencapaian cukup positif. Pertumbuhan sebenar bagi suku keempat 2025 adalah bukan 5.2 peratus tetapi 6.3 peratus. Ini jauh mengatasi apa yang kita jangkakan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan bagi tahun 2025, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 4.9 peratus kepada 5.2 peratus.

Angka itu, jelas Menteri Komunikasi berkenaan, juga lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi 2024 yang mencatatkan 5.1 peratus.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa antara sektor yang menyumbang pertumbuhan tertinggi ialah sektor pembinaan, dengan kadar pertumbuhan 11 peratus.

Sementara itu, hasil lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi baru-baru ini ke Malaysia dijangka memberi limpahan positif dalam sektor pelancongan dan ekonomi negara.

Fahmi berkata, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani menerusi lawatan itu dan ia mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Hubungan yang baik dan erat antara kedua-dua negara dilihat dapat memacu perdagangan antara kedua-dua negara dan juga hubungan antara Malaysia dan India.

“Kita jangka limpahan sama ada daripada segi pelancongan ataupun dari segi ekonomi dijangka positif untuk Malaysia,” kata Fahmi lagi.

BACA JUGA Kunjungan MB Kelantan tarik perhatian, PM Anwar dilihat jayakan prinsip Tuan Guru Nik Aziz