Isu rumah ibadat: Jemaah Menteri diberi penjelasan hari ini
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan penjelasan terperinci kepada Jemaah Menteri hari ini berhubung isu rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi peraturan, termasuk insiden pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor.
Penjelasan tersebut bertujuan memberi gambaran sebenar kepada Kabinet mengenai latar belakang isu berkenaan, kronologi kejadian serta pihak-pihak yang terlibat, sekali gus membantu kerajaan merangka pendekatan penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam meredakan ketegangan yang berlaku.
“Saya akan memaklumkan kepada Jemaah Menteri esok (hari ini) mengenai keadaan sebenar, termasuk watak-watak yang terlibat dan bagaimana pihak polis berusaha mengawal situasi.

“Kadang-kadang tindakan polis dilihat dari satu perspektif sahaja; contohnya, apabila ada pihak mengadakan perhimpunan berkaitan isu ini, kerajaan seolah-olah dilihat tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya semalam.
Tambahnya, isu berkaitan status tanah, pemilikan atau perancangan bandar mesti diselesaikan melalui saluran sah yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Isu berpanjangan
Isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan perancangan atau status tanah bukan perkara baharu dalam landskap pentadbiran tempatan di negara ini.
Sejak puluhan tahun, beberapa negeri terutama di Pantai Barat Semenanjung berdepan situasi di mana rumah ibadat didirikan di atas tanah persendirian, tanah kerajaan atau kawasan bukan dizonkan untuk tujuan keagamaan yang lazimnya dikaitkan dengan faktor sejarah.
Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lazimnya bertanggungjawab terhadap kelulusan pelan, status tanah serta perancangan guna tanah.
Kerajaan Persekutuan pula melalui agensi penguatkuasa seperti polis akan bertindak apabila berlaku pertikaian, pencerobohan atau ketegangan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, setiap kes melibatkan rumah ibadat sering memerlukan penyelarasan pelbagai agensi serta pendekatan sensitif bagi mengimbangi kepatuhan undang-undang dengan keharmonian masyarakat.
Kerajaan MADANI diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan pendekatan penyelesaian melalui rundingan, pemutihan status rumah ibadat lama serta penyusunan semula lokasi yang lebih sesuai mengikut undang-undang perancangan bandar.
Pendekatan tersebut bertujuan memastikan keharmonian antara komuniti pelbagai agama terus terpelihara, sambil menegakkan peraturan berkaitan tanah dan pembangunan.
BACA JUGA AMANAH tangguh pemilihan, komited angkat sosioekonomi Melayu