KPDN Selangor, pantau 15 item SHMMP, pastikan peniaga patuh harga maksimum

FOTO BERITA: KPDN Selangor membuat pemeriksaan dan tinjauan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersama YB Datuk Hj. Rizam Hj. Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan Dan Pengguna Neveri Selangor bersama Tuan Muhamad Hanif Asa’ari, Pengarah KPDN Selangor di Giant Bukit Tinggi, Klang, Selangor. 13hb Februari 2026 (Jumaat)

Menurut Rizam, pemantauan kali ini memberi tumpuan kepada 15 barangan terkawal di bawah SHMMP yang melibatkan peringkat borong dan runcit. Beliau memaklumkan terdapat perbezaan harga yang ketara bagi beberapa item berbanding tahun lalu, dengan lapan daripadanya mencatatkan penurunan harga.

Antara contoh yang dikongsi ialah bawang putih Cina yang mencatatkan harga borong sekitar RM8 hingga RM9.50 sekilogram dan harga runcit RM9.50, berbanding tahun lalu mencecah RM11.50. Bawang kuning besar (Holland) pula dijual pada harga runcit RM4 berbanding RM4.50 tahun lalu, manakala bawang merah besar turun kepada RM4 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Antara contoh yang dikongsi ialah bawang putih Cina yang mencatatkan harga borong sekitar RM8 hingga RM9.50 sekilogram dan harga runcit RM9.50, berbanding tahun lalu mencecah RM11.50. Bawang kuning besar (Holland) pula dijual pada harga runcit RM4 berbanding RM4.50 tahun lalu, manakala bawang merah besar turun kepada RM4 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Selain itu, kubis bulat turut menunjukkan penurunan harga daripada RM3.50 kepada RM2.99, manakala lobak merah Cina dijual pada harga runcit RM4.20 berbanding RM4.50 tahun lalu.

“Alhamdulillah, kita juga melihat pelaksanaan Jualan Rahmah dengan kira-kira 65 SKU yang menawarkan potongan harga antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga biasa, sekali gus membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, pihak KPDN turut memeriksa aspek pematuhan tanda harga khas dan alat timbang sukat bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan. Pemeriksaan mendapati alat timbang yang digunakan mematuhi syarat serta memiliki lesen sah sehingga November 2026.

Mengulas penguatkuasaan, Rizam memaklumkan sepanjang tahun 2025, sebanyak 265 tindakan kes telah direkodkan di Selangor membabitkan pelbagai kesalahan di bawah SHMMP. Daripada jumlah itu, lima kes melibatkan tiada tanda harga, tiga kes menjual melebihi harga maksimum dan 257 kes gagal menggunakan tanda harga khas.

Nilai sitaan yang direkodkan adalah sebanyak RM4,370.44 manakala nilai kompaun berjumlah RM30,900.

Beliau menegaskan kesalahan paling kerap dikesan adalah kegagalan mempamerkan tanda harga khas, yang boleh membuka ruang kepada penipuan seperti manipulasi harga atau timbangan.

“Jika terdapat peniaga yang tidak mematuhi syarat seperti mengubah suai timbangan atau tidak mempamerkan tanda harga khas, orang ramai perlu segera melaporkan kepada pihak KPDN. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara,” ujarnya.

Kerajaan Negeri juga memaklumkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) secara automatik berperanan sebagai sebahagian daripada skuad pengguna bagi membantu menyalurkan maklumat kepada KPDN.
