Pemuda AMANAH tawar khidmat guaman kepada pemilik tanah yang diceroboh
Pemuda AMANAH menawarkan khidmat guaman kepada pemilik tanah yang berdepan masalah pencerobohan tidak sah termasuk pembinaan rumah anutan tanpa izin.
“Saya bersama Pemuda AMANAH dan KANUN Nasional dengan ini menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mana-mana tuan tanah yang menghadapi kemelut pencerobohan tanah hak milik mereka, kata Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman ketua kluster Kanun Muda dalam satu kenyataan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan hak pemilik tanah yang sah terpelihara, di samping memastikan setiap pertikaian diselesaikan secara tertib melalui koridor undang-undang yang sedia ada. Dalam masa yang sama mengimbangi sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.”
Zulsyahmi menambah bahawa usaha ini dibuat sebagai “satu bentuk pendidikan masyarakat bahawa kebebasan beragama dan hak membina rumah ibadat haruslah selari dengan kepatuhan kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penghormatan terhadap hak milik orang lain.”
“Kami menyeru semua pihak agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang pembangunan bagi mengelakkan kerugian di masa hadapan.
“Matlamat kami jelas: membina sebuah Malaysia yang stabil di mana setiap warganegara berasa selamat dengan hak harta benda mereka, manakala institusi agama pula berdiri megah di atas tanah yang sah dan diredai.”
Baru-baru ini seorang aktivis Tamim Dahri telah ditahan susulan selepas merobohkan sebahagian kuil tanpa izin di Rawang.
BACA JUGA: Kontroversi Saham Azam Baki: Ujian Integriti SPRM di Tengah Agenda Reformasi Negara