Perjumpaan Hadi- Hamzah: Apa maknanya?

Perjumpaan presiden Pas Tan Sri Hadi Awang dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin membuktikan Pas mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan Bersatu, dakwa seorang penganalisa politik.

“Saya konsisten mengatakan bahawa Pas mahu Hamzah mengambil alih. Hamzah sepatutnya mencabar Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk jawatan presiden tetapi mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian di saat akhir.

“Justeru itu, Datuk Seri Azmin Ali dibawa masuk oleh Mahiaddin untuk mengimbangi pengaruh Hamzah,” kata Profesor James Chin merujuk kepada perubahan jawatan dan pelantikan Azmin sebagai setiausaha agung parti.

“Inilah natijah daripada kegagalan Hamzah yang tidak memberi kata putus.

“Pas akan menyokong Hamzah dan mahu beliau menyertai Pas namun ini tidak mudah.

“Berita baik untuk Hamzah ialah beliau boleh mendapat sokong sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen Bersatu.”

Chin berkata demikian dalam mengulas perjumpaan Hamzah dengan Hadi yang turut disertai pemimpin Pas dan MP Bersatu yang telah dipecat sebelum ini.

Beliau menambah 48 jam seterusnya adalah penting untuk diamati.

“Peranan besar akan dimainkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sekiranya Bersatu memberikan notis bahawa Hamzah telah dipecat.

“Adakah Bersatu akan memberi notis tersebut?”

Pindaan perlembagaan tidak membenarkan seseorang anggota Dewan melompat parti. Peruntukan tersebut memberikan kuasa kepada Yang Dipertua untuk menentukan sama ada kerusi Larut yang diwakili wajar dikosongkan.

Dalam kes membabitkan enam ahli parlimen Bersatu sebelum ini, kerusi tidak dikosongkan. Hanya tempat duduk diubah apabila mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Hamzah dan tiga ahli parlimen Bersatu telah dipecat semalam.