Radzi Jidin, Faizal Azumu jadi timbalan presiden Bersatu

Bersekutu hari ini mengumumkan pelantikan dua naib presiden Datuk Seri Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan presiden susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam.

Majlis Pimpinan Tertinggi parti mengambil keputusan sebulat suara mesyuarat khas yang berlangsung di rumah presiden, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Saya menyeru seluruh ahli Bersatu supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang ada untuk mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asalnya dalam membela nasib rakyat.

“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan mampu mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mahiaddin turut menyatakan bahawa mesyuarat tersebut turut membincangkan langkah memperkukuhkan parti susulan pemecatan dan 16 pemimpin Bersatu.

“Sebelum sebarang keputusan dibuat, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencari titik perdamaian serta menyelamatkan parti melalui siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. Namun demikian, ia tidak berhasil.

“Malah, terdapat segelintir pihak yang berterusan melakukan sabotaj…Sekiranya perbuatan ini dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli-ahli yang setia kepada perjuangan Bersatu.

“Sebagai presiden dan pengasas Bersatu, saya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan parti ini terus kukuh dan berada di landasan perjuangannya yang sebenar.

“Saya dan rakan-rakan seperjuangan sejak awal penubuhan parti tidak rela melihat Bersatu dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau mendakwa telah bersangka baik demi perpaduan parti tetapi tidak dihargai.

“Saya juga telah memberi ruang dalam barisan kepimpinan kepada individu yang diketahui mempunyai perbezaan pendapat dengan saya, atas dasar sangka baik dan demi memastikan perpaduan serta kestabilan parti.

“Namun, usaha tersebut tidak dihargai. Tindakan-tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus dilakukan,” katanya.

BACA JUGA: Wan Ahmad Fayshal antara tiga ahli parlimen yang turut sama dipecat Bersatu