Retorik ‘Bersih & Stabil’ yang Terkoyak
RIDHUAN ESA
Landskap politik Malaysia sekali lagi bergelora, namun kali ini gegarannya berpunca dari dalam kubu Perikatan Nasional (PN) sendiri. Dua parti terasnya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sedang dilanda krisis kepimpinan yang parah.
Krisis ini mendedahkan kerapuhan dan percanggahan dalaman yang selama ini cuba diselindungkan di sebalik slogan retorik “Bersih dan Stabil” serta naratif politik Melayu-Islam.
Polemik dalaman ini yang boleh dirangkumkan sebagai:
PAS: Mursyidul Am vs. Presiden
dan
BERSATU: Presiden vs. Timbalan Presiden
Ia bukan sahaja menggugat kestabilan PN, tetapi juga menyerlahkan kegagalan gabungan itu sebagai satu blok pembangkang yang konstruktif.
Ia sekaligus menggariskan keperluan mendesak untuk satu anjakan ke arah politik yang lebih matang, membina, dan berteraskan kepentingan rakyat di Malaysia.
I. BERSATU: Perang Terbuka di Puncak Kuasa
Krisis dalaman BERSATU mencapai kemuncaknya pada 13 Februari 2026 apabila Lembaga Disiplin parti memutuskan untuk memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, atas alasan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.
Pemecatan ini berkuat kuasa serta-merta dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan, manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengesahkan keputusan tersebut.
Turut dipecat pada hari yang sama ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang sebelum ini telah digantung keahliannya.
Tindakan drastik ini bukanlah satu kejutan, sebaliknya ia adalah manifestasi perebutan kuasa yang telah berlarutan selama lebih setahun antara kem Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kem Hamzah Zainudin. Kronologi krisis ini boleh diringkaskan seperti berikut:
1. November 2024: Pemilihan parti: Muhyiddin kekal Presiden, Hamzah Timbalan Presiden (tanpa pertandingan)
2. Februari 2025: Dakwaan lima pemimpin PAS bertemu Hamzah, mahukan beliau sebagai calon PM
3. September 2025: Kekecohan semasa PAT 2025; 120 Ketua Bahagian menandatangani gesaan Muhyiddin berundur
4. Oktober 2025: Wan Saiful dipecat, Wan Ahmad Fayhsal digantung, 4 Ketua Bahagian dipecat
5. 1 Januari 2026: Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN
6. 13 Februari 2026: Hamzah Zainudin dan Wan Ahmad Fayhsal dipecat; 16 Ahli Parlimen mendesak Muhyiddin letak jawatan
Pada hari yang sama dengan pemecatan Hamzah, 16 Ahli Parlimen BERSATU secara terbuka menyokong gesaan Naib Presiden Ronald Kiandee agar Muhyiddin segera meletak jawatan sebagai Presiden parti. Mereka menyatakan keyakinan bahawa Hamzah mampu mengembalikan fokus perjuangan parti kepada agenda rakyat dan negara.
Antara nama yang menandatangani kenyataan bersama tersebut termasuk Ahli Parlimen Kangar, Kubang Pasu, Kulim-Bandar Baharu, Ketereh, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Gerik, Padang Rengas, Lumut, Indera Mahkota, Rompin, Sabak Bernam, Sungai Besar, dan Mersing.
Pemecatan ini melumpuhkan parti dari dalam dan secara langsung mencabar slogan “stabil” yang dilaung-laungkan oleh PN. Bagaimana sebuah gabungan boleh menjanjikan kestabilan kepada negara jika parti komponen utamanya sendiri gagal menguruskan perbezaan pendapat dan perebutan kuasa secara matang?
Krisis ini menunjukkan bahawa BERSATU, sebuah parti yang lahir daripada perpecahan UMNO, kini mengulangi sejarah yang sama, penyingkiran pemimpin yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan, satu amalan yang pernah menjadi barah dalam UMNO di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak.
II. PAS: Percanggahan Antara Kepimpinan Ulama dan Kepimpinan Politik
Di kem PAS, krisis yang berlaku lebih bersifat ideologikal dan struktural. Ia melibatkan pertembungan antara autoriti Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin, yang mengetuai Majlis Syura Ulama, dengan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Isu ini memuncak dalam kemelut politik PAS Perlis, di mana tiga ADUN PAS, termasuk bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dihentikan keahlian pada 24 Disember 2025 atas arahan kepimpinan pusat selepas mereka menandatangani akuan bersumpah yang membawa kepada pertukaran Menteri Besar.
Namun, pada 1 Februari 2026, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk menerima rayuan ketiga-tiga ADUN tersebut dan membenarkan mereka menyertai semula parti. Keputusan ini secara terang-terangan bercanggah dengan pendirian Presiden Hadi Awang dan mendedahkan satu persoalan fundamental:
Siapakah pemegang kuasa mutlak dalam PAS?
Adakah Presiden sebagai “Amir Jemaah” atau Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi yang mentafsir hala tuju parti?
Hashim Jasin sendiri secara terbuka mempersoalkan kedudukan ini. Beliau menegaskan bahawa keputusan Presiden PAS masih tertakluk kepada Majlis Syura, satu kenyataan yang menggoncang hierarki kuasa tradisional dalam parti.
Lebih membimbangkan, Hashim mendedahkan bahawa beliau telah melaporkan pelbagai isu berkaitan PAS Perlis kepada Hadi Awang sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan yang diambil. Malah, Hashim turut mencadangkan agar PAS bergerak solo dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya konflik kepimpinan PN berterusan dan tidak dapat diselesaikan.
“Pas berdepan krisis nilai dan krisis kejujuran perjuangan apabila tokoh-tokoh dalam parti sendiri termasuk Mursyidul Am dan bekas pemimpin pusat tampil menegur secara terbuka keputusan dan proses dalaman parti.” – Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Amanah
Polemik ini bukan sekadar perebutan kuasa peribadi. Ia menzahirkan kegagalan PAS untuk mengimbangi antara tuntutan sebagai sebuah gerakan Islam (harakah) dan realiti sebagai sebuah parti politik dalam sistem demokrasi moden.
Apabila Presiden parti mengisytiharkan dirinya sebagai “Amir Jemaah” yang keputusannya bersifat muktamad, tetapi pada masa yang sama Majlis Syura Ulama, badan yang sepatutnya menjadi rujukan tertinggi dalam tradisi syura, membuat keputusan yang bertentangan, maka yang terzahir ialah satu krisis legitimasi yang serius. Slogan politik Melayu-Islam yang sempit menjadi tidak relevan apabila parti itu sendiri bergelut dengan tafsiran autoriti dan tadbir urus dalaman.
III. Sejarah Pemecatan: Pengajaran yang Tidak Dipelajari
Sejarah politik Malaysia dipenuhi dengan episod pemecatan pemimpin yang akhirnya membawa kepada keruntuhan parti yang melakukannya. Pola ini berulang dengan konsisten dan sepatutnya menjadi pengajaran berharga, namun ia terus diabaikan.
1. 1998 — UMNO: Anwar Ibrahim dipecat sebagai TPM dan dari UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lahirnya gerakan Reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR); perpecahan undi Melayu yang berlarutan sehingga kini
2. 2015-2016 — UMNO: Najib Razak memecat Muhyiddin Yassin (TPM), Mukhriz Mahathir, dan menggantung Shafie Apdal kerana mengkritik skandal 1MDB. Penubuhan BERSATU; kejatuhan BN pada PRU14 (2018) buat pertama kali dalam sejarah
3. 2023 — UMNO: Pemecatan 44 ahli dalam satu malam (“Friday Night Purge”). Imej parti tercalar; sokongan akar umbi terhakis
4. 2025-2026 — BERSATU: Pemecatan Wan Saiful, Wan Ahmad Fayhsal, beberapa Ketua Bahagian, dan akhirnya Hamzah Zainudin16 AP menentang Presiden; parti berpecah dua; PN semakin lemah.
Pada Julai 2015, Najib Razak merombak kabinet dan menyingkirkan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kritikannya terhadap skandal 1MDB. Setahun kemudian, pada Jun 2016, Majlis Tertinggi UMNO secara sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir atas alasan “pelanggaran disiplin” kerana berkongsi pentas dengan pembangkang. Shafie Apdal turut digantung.
Tindakan ini, yang bertujuan untuk “membersihkan” parti daripada suara-suara kritikal, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penubuhan BERSATU dan akhirnya kejatuhan BN yang telah memerintah selama 61 tahun.
Ironinya, Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi mangsa budaya pemecatan dalam UMNO, kini mengulangi pola yang sama dalam BERSATU. Pemecatan Hamzah Zainudin pada 13 Februari 2026 adalah cerminan tepat kepada apa yang dilakukan oleh Najib terhadap Muhyiddin sendiri sedekad yang lalu.
Perbezaan pandangan ditafsirkan sebagai penderhakaan, kritikan dianggap sebagai pengkhianatan, dan mekanisme disiplin parti digunakan sebagai senjata untuk menyingkirkan pesaing politik. Sejarah bukan sahaja berulang; ia berulang dengan ironi yang menyakitkan.
Lebih jauh ke belakang, pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melahirkan gerakan Reformasi yang mengubah lanskap politik Malaysia secara kekal. Perpecahan UMNO pada 1987 yang melahirkan Semangat 46 di bawah Tengku Razaleigh Hamzah turut membuktikan bahawa setiap tindakan menyingkirkan pemimpin yang bersuara berbeza akan melahirkan entiti politik baharu yang akhirnya mengancam parti asal.
Pengajaran yang jelas ialah, parti politik yang tidak mampu menguruskan perbezaan dalaman secara demokratik dan bermaruah akan menghadapi keruntuhan dari dalam. Budaya pemecatan adalah simptom kepada kepimpinan yang tidak menerima teguran dan kritikan, satu ciri autokrasi yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.
IV. Slogan Retorik yang Sangat Buruk: ‘Bersih, Stabil, dan Politik Melayu-Islam’
Slogan “Bersih dan Stabil” serta naratif politik Melayu-Islam yang dibawa oleh PAS-BERSATU dalam Perikatan Nasional adalah antara retorik yang paling buruk dalam sejarah politik Malaysia kontemporari.
Ia buruk bukan kerana ia tidak menarik secara emosi. Sebaliknya, ia sangat berkesan dalam memanipulasi sentimen, tetapi kerana ia kosong daripada substansi dan bertentangan dengan realiti.
Bagaimana PN boleh mendakwa “bersih” apabila Presidennya, Muhyiddin Yassin, sendiri berdepan pertuduhan di mahkamah?
Bagaimana ia boleh mendakwa “stabil” apabila kedua-dua parti terasnya sedang berperang sesama sendiri?
Dan, bagaimana naratif politik Melayu-Islam boleh dianggap mulia apabila ia digunakan semata-mata sebagai alat untuk bermain emosi dan persepsi demi meraih undi, tanpa disertai dengan tawaran dasar ekonomi, pendidikan, dan pembangunan yang konkrit?
Politik Melayu-Islam yang dibawa oleh PN gagal melampaui retorik perkauman dan keagamaan yang sempit. Ia tidak menawarkan satu visi yang jelas tentang bagaimana ekonomi rakyat akan diperkukuh, bagaimana pendidikan akan ditransformasi, atau bagaimana Malaysia akan bersaing dalam ekonomi global. Sebaliknya, ia bergantung kepada naratif ketakutan, takut kehilangan kuasa Melayu, takut ancaman terhadap Islam, yang sengaja dieksploitasi untuk mengekalkan sokongan politik.
Rakyat Malaysia hari ini memerlukan politik yang lebih daripada sekadar slogan. Mereka memerlukan parti-parti politik yang menjadi wadah membina manusia, masyarakat, dan negara dari segi ekonomi, ilmu, akhlak, dan kemanusiaan.
Parti politik sepatutnya menjadi institusi yang melahirkan pemimpin berkeupayaan, menawarkan dasar yang pragmatik, dan membina keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi. Bukan sekadar satu kenderaan yang membawa naratif perkauman dan agama sempit untuk bermain emosi dan persepsi semasa musim pilihanraya.
V. Kegagalan Pembangkang yang Konstruktif: Ancaman kepada Demokrasi
Krisis serentak dalam BERSATU dan PAS membuktikan kegagalan Perikatan Nasional untuk menjadi satu blok pembangkang yang berfungsi sebagai penyumbang kepada pembangunan negara.
Sibuk dengan perebutan jawatan dan kelangsungan politik dalaman, PN telah mengabaikan peranan utamanya untuk menyediakan semak dan imbang yang bernas, profesional, dan membina terhadap dasar-dasar kerajaan.
Dalam sebuah demokrasi yang matang, pembangkang bukan sekadar “penentang” kerajaan. Pembangkang adalah penyumbang kepada pembangunan manusia, masyarakat, dan negara dari segi ilmu, akhlak, dan kemanusiaan.
Pembangkang yang berkesan menyediakan alternatif dasar, mengkritik kelemahan kerajaan dengan hujah yang bernas dan data yang kukuh, serta memastikan suara rakyat yang tidak diwakili oleh kerajaan tetap didengari.
Namun, PN hari ini gagal memenuhi peranan ini. Apabila tenaga dan sumber parti dihabiskan untuk perebutan kuasa dalaman, siapakah yang akan membahaskan isu kos sara hidup rakyat di Parlimen?
Siapakah yang akan meneliti peruntukan belanjawan dengan kritikal?
Siapakah yang akan memastikan dasar-dasar kerajaan tidak bersifat sepihak?
Lemahnya pembangkang akan membawa kepada pembentukan dasar yang sepihak dan hilangnya semak dan imbang yang sepatutnya memberi hujah bernas, profesional, serta membina dalam membantu parti kerajaan membentuk negara yang lebih baik.
Rakyat perlu memahami bahawa demokrasi yang seimbang bukan bermakna kerajaan yang lemah, tetapi kerajaan yang sentiasa diuji dan dipertanggungjawabkan oleh pembangkang yang berkualiti.
Satu analisis oleh Dr. Nor Azizuddin Abdul Manan dalam Berita Harian menyatakan bahawa jika konflik dalaman PN berlarutan, gabungan itu berisiko kehilangan 25 hingga 35 peratus kerusi Parlimen menjelang PRU16.
Di Johor, PN dijangka hanya mampu memenangi 4 hingga 7 kerusi DUN berbanding potensi 8 hingga 12 kerusi sekiranya parti itu stabil. Di Melaka, angka PN boleh merosot kepada 1 hingga 3 kerusi sahaja.
Kemerosotan ini bukan sahaja merugikan PN, tetapi merugikan seluruh sistem demokrasi Malaysia kerana ia bermakna semakin kurang suara pembangkang yang berkualiti di dewan-dewan perundangan.
VI. Keperluan Politik Matang: Satu Seruan kepada Rakyat
Malaysia hari ini memerlukan satu politik yang matang dan menjadi satu wadah di mana rakyat memberikan harapan penuh kepada sistem demokrasi yang seimbang. Ini bermakna rakyat perlu menuntut lebih daripada sekadar janji-janji kosong dan slogan-slogan emosi. Rakyat perlu menilai parti-parti politik berdasarkan keupayaan mereka untuk:
Pertama, membina kepercayaan dan keyakinan melalui tadbir urus dalaman yang telus, demokratik, dan bermaruah. Parti yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri tidak layak untuk menguruskan negara.
Kedua, menawarkan dasar ekonomi yang konkrit yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan sekadar retorik perkauman yang memecahbelahkan.
Ketiga, menjadi wadah pembangunan manusia yang melahirkan pemimpin berkeupayaan, berilmu, dan berakhlak, bukan sekadar pemimpin yang pandai bermain politik.
Keempat, menghormati prinsip demokrasi termasuk hak untuk berbeza pendapat tanpa dihukum dengan pemecatan atau penyingkiran.
Kemelut yang melanda PAS dan BERSATU adalah simptom kepada penyakit yang lebih besar dalam politik Malaysia, ketidakmatangan dalam mengurus perbezaan, ketagihan kepada politik identiti, dan kegagalan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti dan peribadi.
Selagi parti-parti politik sama ada di blok kerajaan atau pembangkang tidak melakukan anjakan ke arah politik yang lebih membina dan berteraskan dasar, selagi itulah Malaysia akan terus terperangkap dalam kitaran politik yang merugikan dan tidak produktif.
Akhirnya, sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa pemecatan dan penyingkiran pemimpin bukanlah penyelesaian kepada perbezaan dalaman. Ia hanyalah satu penundaan kepada masalah yang lebih besar.
UMNO runtuh kerana Najib memecat mereka yang bersuara. BERSATU kini sedang menuju ke jalan yang sama. Dan PAS, yang selama ini mendakwa memperjuangkan nilai-nilai Islam, perlu membuktikan bahawa prinsip syura yang dilaungkan bukan sekadar hiasan retorik tetapi diamalkan secara hakiki dalam tadbir urus partinya.
Malaysia layak mendapat yang lebih baik daripada ini.
Ridhuan Esa ialah Exco Pemuda AMANAH Nasional