Akaun Facebook pun tak boleh urus, tutup saja parti

Bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan meluahkan rasa sedih melihat konflik berterusan dalam parti itu sehingga isu rakyat tidak lagi disentuh.

Sebaliknya kata beliau, isu pengurusan akaun Facebook pula yang menjadi perhatian.

Beliau merujuk kepada isu sabotaj dalaman menggunakan Facebook rasmi Bersatu sejak semalam.

“Saya sedih melihat apa yang berlaku dalam Bersatu. Isu rakyat tak disentuh. Isu Azam Baki tak dilawan. Isu Anwar Ibrahim tak disentuh. Isu jual negara tak dijuarai.

“Tapi akaun Facebook pula jadi tumpuan,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Wan Saiful berkata, sepanjang beliau menjadi Ketua Penerangan Bersatu sebelum ini, perkara seperti itu tidak pernah berlaku.

Beliau menyalahkan presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, menyifatkan inilah kualiti pegawai atasan yang menjadi pilihan Mahiaddin dulu.

“Malangnya, inilah kualiti pegawai atasan pilihan Mahiaddin. Inilah kualiti Bersatu hari ini.

“Kalau akaun Facebook pun tak boleh urus, tutup sajalah parti,” katanya.

Hari ini Bersatu memaklumkan parti itu telah pun menyingkirkan empat pentadbir mereka yang mempunyai akses penuh ke atas akaun berkenaan kerana mensabotaj akaun Facebook rasmi Bersatu semalam.

Empat individu didakwa terlibat termasuk pegawai khas kepada bekas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

BACA JUGA Sabotaj Facebook rasmi, Bersatu singkirkan empat pentadbir