AMANAH, DAP, ABIM senada desak siasatan telus, bebas untuk SPRM
AMANAH, DAP, dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) senada mahukan siasatan telus terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
AMANAH menyatakan bahawa Azam Baki perlu direhatkan daripada tugas buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap segala tuduhan yang berbangkit.
Timbalan Ketuanya, Danial Al-Rashid berkata, pendirian itu bukan bersifat peribadi terhadap individu berkenaan, sebaliknya berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik serta keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara.
DAP pula bertegas bahawa kes Azam Baki perlu disiasat oleh sebuah jawatankuasa bebas yang ahlinya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap hasil siasatan tersebut.
Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaannya, Ramkarpal Singh mendakwa, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa penyiasatan seperti kuasa untuk mengemukakan atau mendapatkan dokumen, atau kuasa memanggil serta memaksa kehadiran saksi sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Ia juga selari dengan pendirian ABIM yang menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diberi kuasa jelas untuk menyiasat dakwaan rangkaian ‘mafia korporat’ melibatkan pegawai kanan SPRM
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tuntutan tersebut susulan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat kepimpinan tertingginya sendiri, sekali gus memerlukan mekanisme bebas bagi memastikan ketelusan dan keadilan.
BACA JUGA Kerajaan serah kepada jawatankuasa khas siasat pemilikan saham Azam Baki