Anwar bukan sekadar PM, tetapi sekolah politik hidup untuk Malaysia
Oleh SAYUTI OMAR
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah guru politik terbaik untuk bangsa ini. Bagi mereka yang melihat dengan “ainul” bukannya dengan mata zahir politik akan menerima penobatan ini. Mungkin bagi setengah penyumpah Anwar, ia dianggap melampau tetapi ia adalah hakiki.
Anak-anak muda atau generasi mendatang boleh belajar dan mengambil iktibar daripadanya jika mereka mahu membabitkan diri dalam politik, dan menjadikn politik sebagai kerjaya perjuangan.
Bukan menerimanya sebagai buku panduaan, timetable, tetapi jadikanlah beliau sebagai bahan kajian dan penyelidikan, jadikan beliau sebagai nara sumber dan pendeta politik.
Anwar seorang guru yang cukup sifatnya yang penuh dengan ilmu dan pengalaman bervariasi. Dia adalah mursyid dalam politik, mujadid bangsa.
Keintelektualannya tiada banding untuk 100 tahun lagi. Bukan sahaja bangsa ini mengikhtirafnya, tetapi dunia juga.
Dunia cemburu kepada bangsa Melayu kerana dianugerahkan seorang pemimpin seperti Anwar. Hanya kita tidak merasa apa-apa kerana beliau hampir dengan kita, seorang bomoh patah tidak akan disebut dalam kalangan penduduk sekampung dengannya, tetapi menjadi sohoran orang luar.

Dan sesuatu objek itu tidak dapat dikenali kalau ia terlalu dekat dengan kanta mata kita. Pelangi itu indah kerana berjarak dengan kita.
Mari kita lihat apakah paksi atau teras menguat dan memapan daya siasahnya. Anwar bukan sekadar ahli pidato atau seorang orator hebat, tetapi seorang mengambil berat kepada masyarakat marhaen.
Beliau mengenali dan merasai denyut nadi rakyat marhaein sedari kecil. “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan anak saya, anak Dusun anak saya”, adalah rangkuman kecintaan beliau kepada semua bangsa dan kaum dalam negara ini.
Denyutan itulah yang membawanya ke padang perjuangan, kemudian melebar di persada politik negara mengenalkan beliau dengan insaniah.
Azimat siasah
Apa yang dilihat di bawah, nasib marhaen itulah yang menjadi misi perjuangannya. Nasib dan penderitaan rakyat, ketidakadilan sosial, ekonomi kapitalis dan politik penjajah, itulah yang diperjuangkan, yang dibungkus dalam candi bernama reformasi. Itu takai dan azimat siasahnya.
Kehebatan Anwar bukan sebagai seorang orator dan penghayat nasib marhaen semata, tetapi beliau juga andika pembela agama dan bangsanya.
Beliau adalah penggerak wadah membela agama. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuh dan digerakkan bersama rakan-rakan adalah wadah perjuangan utamanya untuk membela masyarakat dan mempastikan tuntutan syariat dilaksanakan dalam negara ini. Terlalu panjang dan banyak kalau hendak disebut penglibatan beliau dalam hal ini.
Komitmennya kepada masyarakat, agama dan bangsa, bermula sedari awal sejak di alam kampus universiti lagi.

Beliau adalah presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Cintanya kepada bahasa Melayu sungguh tinggi dan murni. Jadi, tidak pelik kalau penuturan bahasa Melayu dalam percakapan baik pidatonya, bertenaga dan berkelas tinggi.
Bahasa Melayunya tidak statik, kering tetapi ada rohnya, dan setiap ungkapan beraura, memberi makna tersendiri, dan menjadi ikutan. Dua perkataan yang popular turutan yang diestablishnya ialah “kesenjangan” dan “ketimbang.”
Dalam aspek agama pun beliau berusaha memenuhi perintah Allah SWT sebagai hamba dan khalifah. Beliau berusaha keras untuk mematuhi perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, buatlah kebaikan dan cegahlah kemungkaran.
Ayat al Quran bermaksud: “Buatlah kebaikan yang boleh, jangan berhenti hanya kerana tidak mampu buat semuanya,” menjadi pegangannya.
Keistimewaan yang ada kepadanya kekuatan batin yang berserah kepada Allah. Beliau tidak mengaku kalah jauh sekali berputus asa apabila cita-citanya tidak tercapai dalam waktu yang diharapkan. Nilai ketakwaan dan pasrah beliau kepada takdir cukup besar.
Kebebatan dan popularitinya tidak cukup menjadikannya sasa dalam perjuangan. Cabaran dan ujian dilaluinya mengentalkan jiwanya yang sekaligus ia menjadi pupuk menyuburkan perjuangannya.
Setiap tribulasi dilalui tidak pernah digentar sebaliknya dijadikan perangsang untuk beliau terus bingkas.
Kerana itu sumpah, caci dan hinalah dia ia tidak memberi bekas sebab ia sudah mangli dengan semua itu.
Dalam hidup Anwar tidak ada istilah kecewa atau hampa. Bagi batang tubuh bernama Anwar bin Ibrahim, senantiasa menyala dan marak sesuai dengan erti dan maksud namanya itu Anwar sebagai nur atau cahaya.
BACA JUGA Wan Saiful selar hipokrasi Mahiaddin dan ‘penjilatnya’