Tolak prasangka, jangan biarkan beza pandangan retakkan hubungan

Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia tidak membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis kepercayaan yang sudah lama terbina antara kaum.

Sebaliknya kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan.

“Tahun Baru Cina sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. 

“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain,” katanya dalam ucapan Tahun Baru Cina di Facebook hari ini.

Anwar berkata, inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan.

“Saya yakin Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama. Semoga tahun ini, seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan dengan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.