Bahayanya hasutan perpecahan, ada sebab KLSCAH dekat di hati PMX
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menolak sentimen perpecahan kaum dan memperkukuh semangat muafakat, sambil menegaskan bahawa masa depan negara bergantung kepada kesediaan semua pihak bekerja bersama secara matang dan beradab.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bersama barisan pimpinan serta masyarakat Cina sekitar ibu negara.
Menurutnya, dewan berusia lebih 100 ahun itu dekat di hati beliau lantaran mempunyai nilai sentimental yang mendalam dalam perjalanan hidupnya.

Beliau berkata, KLSCAH pernah menjadi saksi hubungan dan kerjasama sejak zaman di Universiti Malaya (UM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), termasuk ketika berdepan fasa jatuh dan bangkit dalam perjuangan menuntut keadilan, reformasi serta hak rakyat.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa kemajuan yang dikecapi Malaysia hari ini terhasil daripada semangat berpasukan dan kesediaan rakyat merentasi perbezaan kaum serta latar belakang untuk bekerja keras bersama.
“Sejak puluhan tahun, pemimpin terdahulu termasuk Tun Abdul Razak telah mengingatkan bahawa perpecahan dan sentimen perkauman adalah cabaran besar negara.
“Hakikat bahawa perkara ini masih perlu diulang hari ini menjadi tamparan bahawa kita telah membiarkan masalah lama ini terus berlarutan,” katanya dalam catatan di media sosial rasmi beliau.

Kekuatan negara
Ahli Parlimen yang juga Menteri Kewangan itu menambah, kekuatan negara terletak pada kesediaan rakyat untuk bermuafakat serta menyelesaikan perbezaan secara rasional dan beradab, bukan melalui retorik yang memecah-belahkan.
“Malaysia tidak akan bergerak ke hadapan jika kita terus berbalah dan membiarkan hasutan perpecahan dan perbezaan meretakkan kepercayaan sesama kita.
“Kekuatan negara terletak pada muafakat dan kesediaan menyelesaikan perbezaan secara matang dan beradab.
“Saya menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah terjalin sekian lama ini.
“Ia menjadi peringatan buat saya untuk terus bekerja dengan jujur, tekun dan berpegang pada prinsip keadilan dalam memikul amanah memimpin negara,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Kecoh bahagian Bersatu bubar suka hati, Armada ‘sound’ kait perlembagaan parti