Kecoh bahagian Bersatu bubar suka hati, Armada ‘sound’ kait perlembagaan parti

Krisis Bersatu yang terus berlanjutan menyaksikan beberapa bahagian mengumumkan pembubaran parti di peringkat bahagian masing-masing.

Tindakan mereka itu dilapor atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Harris Idaham Rashid mengingatkan bahawa tiada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu membenarkan jawatankuasa bahagian atau negeri mengumumkan pembubaran parti di kawasan masing-masing.

Ketua Bersatu Balik Pulau itu berkata, kuasa tersebut sebaliknya tertakluk di bawah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang dipengerusikan presiden.

“Kebelakangan ini Armada melihat perkembangan beberapa jawatankuasa bahagian mengumumkan bahagian masing-masing terbubar kerana mereka telah meletak jawatan.

“Tidak ada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu membenarkan jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris Idaham Rashid

Menurutnya, Badan Perhubungan Negeri (BPN) Bersatu juga tiada hak untuk mengumumkan atau mengesahkan pembubaran bahagian dan undang-undang sama turut terpakai kepada sayap-sayap parti.

Harris berkata, mendaftar sebagai ahli, memegang atau meletak jawatan adalah hak individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 10.

Namun, jelasnya, jawatankuasa atau individu termasuk ketua bahagian tidak mempunyai hak sama sekali untuk mengumumkan pembubaran parti pada peringkat bahagian.

Dalam masa sama, beliau menyarankan pihak media menunggu pengumuman setiausaha agung mengenai status bahagian dan tidak melaporkan hal pembubaran sebelum ia diputuskan pada peringkat MPT.

Walaupun begitu, tambahnya, tiada masalah melaporkan peletakan jawatan kerana itu adalah hak masing-masing.

Setakat ini, di Pulau Pinang, bahagian yang telah mengumumkan pembubaran ialah Kepala Batas dan Tanjong selain Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor.

BACA JUGA Buat pemuja K-Drama, ketahui 8 fakta sisi gelap budaya Korea