Lebih 8,000 peniaga sertai Bazar Ramadan Rahmah, ini cara ketahui 95 lokasi BRR

Sebanyak 95 lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) yang menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga Menu Rahmah akan dilaksanakan di seluruh negara sempena Ramadan tahun ini.

Maklumat mengenai kesemua lokasi BRR terbabit boleh diketahui menerusi laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Di Selangor contohnya, terdapat sembilan lokasi BRR, antaranya di Seksyen 17, Shah Alam; Jalan 2, Bandar Baru Selayang; Lotus Kuala Selangor dan Bukit Beruntung.

Bagi Perak, terdapat 10 lokasi BRR, termasuk di Taman Perpaduan, Ipoh; Simpang Empat, Hutan Melintang; Pekan Gerik; Kamunting dan Dewan Kerian Permai, Parit Buntar.

Menurut KPDN, lebih 8,000 peniaga menyertai BRR dengan penekanan kepada tawaran makanan mampu milik dan pengurusan bazar yang lebih sistematik serta inklusif.

Harga berpatutan

Program BRR antara lain bertujuan membantu rakyat mendapatkan juadah berbuka pada harga berpatutan, khususnya golongan B40, selain memberi ruang kepada peniaga kecil menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

Menurut garis panduan pelaksanaan BRR, sehingga 50 peratus peniaga di setiap lokasi akan menawarkan Menu Rahmah, iaitu makanan pada harga rendah dan berpatutan bagi memastikan pilihan juadah lebih mesra rakyat.

Lokasi bazar turut diberi keutamaan di kawasan yang mempunyai kumpulan sasar B40 atau di kawasan yang bersesuaian bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, kadar sewaan tapak akan ditetapkan pada kadar Rahmah berdasarkan lokaliti, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penganjur, bagi memastikan peniaga tidak terbeban dengan kos sewaan yang tinggi.

Selain itu, BRR tahun ini juga memberi tumpuan kepada pendigitalan urus niaga, dengan perluasan kaedah pembayaran tanpa tunai melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).

Inisiatif tersebut bertujuan memudahkan transaksi antara peniaga dan pelanggan serta menggalakkan penggunaan pembayaran digital.

Bagi mengurangkan pembaziran makanan, lebihan juadah dan minuman di bazar akan diuruskan menerusi program MySaveFood dengan kerjasama GEMA dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

Usaha tersebut diharap dapat memastikan makanan yang tidak terjual disalurkan kepada golongan memerlukan.

BACA JUGA Umat Islam Malaysia mula berpuasa 19 Februari