Najwan Halimi Sempurnakan Program Ihya’ Ramadan DUN Kota Anggerik, RM200,000 Disalurkan

FOTO BERITA: Program Serahan Sumbangan Ihya’ Ramadan DUN Kota Anggerik 2026 disempurnakan oleh YB Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, merangkap ADUN Kota Anggerik berlangsung di Dewan Petals, Seksyen 7, Shah Alam. Selangor. 17hb Februari 2026 (Selasa)

Program Serahan Sumbangan Ihya’ Ramadan DUN Kota Anggerik 2026 telah disempurnakan oleh Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap ADUN Kota Anggerik, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Petals, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

Majlis yang dihadiri pimpinan masjid, surau dan musalla sekitar DUN Kota Anggerik itu turut menampilkan pengisian khas oleh Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Dato’ Dr. Farid Ravi Abdullah, sebagai persediaan menyambut Ramadan yang bakal tiba.

Dalam ucapannya, Najwan meluahkan rasa syukur kerana dapat meneruskan tradisi tahunan menyantuni institusi masjid dan surau sejak beliau diberi amanah sebagai ADUN Kota Anggerik pada 2018.

“Setiap tahun kita peruntukkan sumbangan khusus bagi menyokong aktiviti masjid, surau dan musalla sepanjang Ramadan. Ini komitmen berterusan untuk memastikan institusi ini terus berfungsi sebagai pusat ibadah dan komuniti,” katanya.

Menurut beliau, bagi tahun 2026, jumlah keseluruhan peruntukan yang diagihkan berjumlah RM200,000 merangkumi sumbangan kewangan, kurma, kopiah dan telekung untuk kegunaan jemaah sepanjang Ramadan.

“Selain sumbangan kewangan, kita juga teruskan pemberian kurma setiap tahun. Kopiah putih diteruskan, manakala hari ini kita sediakan edisi khas warna hitam untuk pimpinan surau dan masjid. Telekung pula diperuntukkan khusus buat muslimat yang aktif di surau dan masjid,” jelasnya.

Menurut Najwan, pelantikan tersebut penting bagi memastikan setiap zon di Kota Anggerik mempunyai wakil yang boleh dirujuk sekiranya timbul sebarang isu berkaitan kebajikan komuniti atau kemudahan awam.

“Ahli-ahli majlis ini akan menjadi penghubung antara penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pejabat ADUN. Kita mahu segala isu di peringkat akar umbi dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

“Mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan umur kita untuk bertemu Ramadan, mengisinya dengan amal yang lebih berkualiti berbanding tahun lalu, dan menjadikan kita hamba yang lebih dekat kepada-Nya,” katanya.