Umat Islam Malaysia mula berpuasa 19 Februari

Umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadat di bulan Ramadan pada Khamis, 19 Februari ini.

Pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan pada 12 Februari lalu menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di negara ini.

Berdasarkan kenyataan itu, Majlis Raja-Raja bersetuju bahawa kaedah menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Menurut kenyataan sama, 29 lokasi di seluruh negara diperkenankan melihat anak bulan Ramadan.

Untuk rekod, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah Muslim, menjadikan Islam agama majoriti yang kekal dominan dalam struktur demografi Malaysia.

Terdapat sekitar 22 hingga 22.4 juta umat Islam di Malaysia iaitu kira-kira 63 hingga 65 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Sementara itu, di Indonesia, Kementerian Hal Ehwal Agama dilapor berkata pengiraan astronomi menunjukkan Ramadan berkemungkinan bermula pada tarikh sama, 19 Februari ini.

Organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama, turut menjangkakan bulan puasa akan bermula pada hari yang sama.

Di Singapura, mufti republik itu turut menyatakan umat Islam akan mula berpuasa bagi bulan suci Ramadan pada 19 Februari.

Di Brunei juga, umat Islam akan memulakan ibadat puasa pada Khamis ini sekaligus malam pertama solat sunat Tarawih akan diadakan pada esok malam.

Bagi Thailand, kira-kira lapan juta masyarakat Muslim iaitu 12 peratus daripada populasi penduduk negara penganut Buddha terbesar di dunia itu juga berkemungkinan mula menjalani ibadat Ramadan bermula 19 Februari ini.

BACA JUGA Kecoh bahagian Bersatu bubar suka hati, Armada ‘sound’ kait perlembagaan parti