PRU16 makin dekat: PH Pulau Pinang mula panaskan ‘enjin’

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dilihat mula memanaskan ‘enjin’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memandangkan baki tempoh penggal dijangka kurang dua tahun.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengarahkan jentera komponen Kerajaan Perpaduan itu memulakan persiapan awal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, tumpuan ketika ini adalah pengukuhan dalaman yang merangkumi penyusunan semula jentera, strategi gerak kerja serta pemantapan organisasi pada semua peringkat.

“Masa berlalu pantas, maka kita perlu mulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Kita juga telah buat ketetapan untuk mempertahankan pemerintahan pada peringkat negeri dan juga peringkat pusat, itulah misi serta tanggungjawab berat kepada kita semua,” katanya.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, di Bayan Baru, di Bayan Baru petang semalam.

Beliau berkata, keputusan memulakan persiapan jentera lebih awal itu telah dibuat dalam mesyuarat awal Februari lalu dan bukan dipengaruhi faktor politik semasa mana-mana parti lain.

Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan berkata, tahun 2026 ini adalah tempoh penting untuk memperkukuh kekuatan parti, dan menambah baik prestasi pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, dalam tempoh yang semakin singkat ini, PH perlu mula bekerja sekarang supaya menjelang PRU16, gabungan itu dapat menunjukkan rekod prestasi pentadbiran yang meyakinkan rakyat.

Dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau, Chow menegaskan bahawa kepimpinan PH berikrar untuk mempertahankan pentadbiran negeri dan pada masa yang sama komited untuk melindungi Kerajaan Persekutuan.

“Dengan rekod prestasi yang kukuh, PH bersama parti-parti komponennya dalam Kerajaan Perpaduan mampu meraih keyakinan rakyat dan terus berdiri bersama mereka dalam menghadapi segala cabaran, termasuk cabaran ekonomi global,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu lagi.

Majoriti kukuh

Untuk rekod, PH masih memegang majoriti kukuh di Pulau Pinang pada peringkat Parlimen dan negeri.

Di peringkat Parlimen, PH menguasai 11 kerusi (DAP 7, PKR 3, AMANAH 1) manakala baki dua kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) dengan Pas dan Bersatu masing-masing mempunyai satu kerusi.

Kerajaan negeri pula diterajui PH yang menguasai 29 daripada keseluruhan 40 kerusi DUN berserta sokongan BN (2 kerusi DUN) sebagai sebahagian Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, PN sebagai pembangkang di Pulau Pinang hanya mempunyai sembilan kerusi dengan Pas memiliki tujuh kerusi DUN manakala Bersatu hanya dua kerusi DUN.

Pemerhati politik menjangkakan PRU16 diadakan awal tahun 2027 sebelum November 2027 iaitu sebelum tamat penggal Parlimen ke-15.

PRU16 dilihat agak mustahil akan berlangsung hujung tahun ini kerana mengambil kira pertimbangan cuaca bermusim.

Sepanjang sejarah pilihan raya umum juga, Malaysia tidak pernah mempunyai tarikh pengundian pada Disember, Januari dan Februari.

BACA JUGA Pas ditempelak ‘try hard’ nak tunjuk paling harmoni, tergamak ‘tunggang’ budak Pasti