Ramadan medan bina integriti, perpaduan dan disiplin ekonomi

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyeru umat Islam menjadikan Ramadan sebagai medan perubahan menyeluruh yang bukan sahaja memperkukuh ibadah, malah membina integriti diri, mempererat perpaduan masyarakat dan menata semula disiplin ekonomi.

Dalam catatan sempena ketibaan Ramadan, beliau menegaskan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya merupakan bulan latihan jiwa untuk melahirkan manusia berintegriti yang jujur walaupun tanpa pengawasan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, falsafah puasa mendidik umat Islam meninggalkan perkara dilarang seperti rasuah, penipuan dan kezaliman kerana kesedaran bahawa Tuhan sentiasa melihat setiap perbuatan.

“Kalau seseorang boleh meninggalkan air di hadapannya kerana Allah, dia juga sepatutnya mampu meninggalkan rasuah, penipuan dan kezaliman kerana Allah,” katanya.

Mahfuz turut menekankan peranan Ramadan sebagai bulan perpaduan apabila semua golongan, tanpa mengira status sosial, berbuka pada waktu yang sama.

Katanya, pengalaman menahan lapar mendidik empati terhadap kesusahan orang lain serta mendorong sikap saling membantu dalam masyarakat.

Keindahan Islam

Dalam konteks negara majmuk, beliau menyifatkan Ramadan sebagai peluang untuk masyarakat bukan Islam melihat keindahan Islam melalui akhlak, kesabaran dan kejujuran umatnya.

Beliau menggalakkan amalan menjemput rakan bukan Islam berbuka puasa serta berkongsi rezeki dengan jiran tanpa mengira agama dan kaum.

Selain itu, Mahfuz berkata, Ramadan juga merupakan bulan pengurusan ekonomi yang menuntut disiplin berbelanja dan pengurangan pembaziran.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan bazar Ramadan sebagai punca pembelian berlebihan sehingga berlaku pembaziran makanan.

“Puasa mengajar kita bahawa keperluan manusia sebenarnya sedikit, nafsu sahaja yang banyak,” katanya sambil menyeru orang ramai berbelanja mengikut keperluan, memperbanyakkan sedekah dan membantu golongan memerlukan.

Beliau menambah, Ramadan seharusnya menjadi masa memperbaiki hubungan sesama manusia dengan mengurangkan perselisihan, memaafkan kesalahan serta mengawal lidah dan emosi.

“Tidak ada maknanya kita bangun tahajud, tetapi kita masih menyimpan dendam.

“Tidak ada maknanya kita membaca al-Quran, tetapi lidah kita masih menyakiti orang lain.

“Puasa sebenar ialah apabila lidah lebih lembut, hati lebih sabar dan tangan lebih ringan membantu,” kata beliau lagi.

Justeru, Mahfuz berharap Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk membina individu yang lebih jujur dan amanah, masyarakat yang lebih bersatu serta negara yang lebih diberkati.

BACA JUGA PRU16 makin dekat: PH Pulau Pinang mula panaskan ‘enjin’