Selepas Hamzah disingkir, bagaimana laluan Azmin?
Penyingkiran Datuk Seri Hamzah Zainudin dari Bersatu secara efektif membawa kepada penyusunan semula hierarki kepimpinan Bersatu, kata penganalisis Hisomudin Bakar.
Dipetik FMT, Pengarah Eksekutif Ilham Centre itu berkata, laluan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menuju kepimpinan tertinggi parti kelihatan tidak lagi berdepan dengan halangan besar.
Beliau berpendapat pendekatan Azmin yang tidak berkonfrontasi serta sokongan berterusan terhadap kepimpinan menunjukkan bekas Timbalan Presiden PKR itu memahami struktur kuasa dan budaya politik Bersatu.
Menurutnya, sifat Azmin mampu memastikan sebarang peralihan kuasa antara bekas Menteri Besar Selangor itu dan Tan Sri Mahiaddin Yasin berlaku dalam keadaan stabil dan terkawal, ketika Bersatu sedang membuat persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tiada tekanan untuk segera melakukan sebarang perubahan jika Mahiaddin selaku Presiden Bersatu berhasrat menerajui parti dalam PRU akan datang, yang dipercayai ramai bakal menjadi pertandingan terakhirnya sebagai presiden parti.
“Azmin berkemungkinan besar sedang mengejar strategi jangka panjang dan menunggu peralihan yang teratur serta bermaruah,” kata Hisomudin lagi.
BACA JUGA ‘Benda macam ni pun Pas tak boleh nak teliti’