Seru rakyat manfaatkan tanah terbiar, menteri saran usahakan tanaman ini
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa orang ramai memanfaatkan tanah kosong di sekitar rumah dengan menanam tanaman mudah diusahakan seperti nanas.
Beliau yang mesra disapa Bang Mat berkata, masih banyak kawasan kecil di persekitaran rumah yang dibiarkan kosong walaupun berpotensi menjadi sumber rezeki jika diusahakan.
Menurutnya, tanaman nanas sesuai diusahakan di kawasan terhad kerana tidak memerlukan tanah luas dan boleh ditanam menggunakan polibeg.
Jelasnya, tanaman itu juga hanya memerlukan cahaya matahari mencukupi, siraman berkala serta pembajaan sederhana untuk membesar dengan baik.
“Dalam 8 ke 12 bulan, keluarlah hasil. Kalau dapat sikit, makan ramai-ramai dengan keluarga.
“Kalau ada lebih, hulur pada jiran. Kalau jadi banyak, jual kecil-kecilan. Boleh tambah duit belanja dapur,” katanya hari ini.
Mohamad berkata usaha kecil seperti menanam di halaman rumah mampu berkembang menjadi sumber pendapatan sekiranya dilakukan secara konsisten dan rajin.
Presiden AMANAH itu juga menegaskan bahawa rakyat tidak perlu menunggu memiliki ladang luas untuk memulakan pertanian, sebaliknya boleh bermula dengan apa yang ada.
“Tanah sekangkang kera pun boleh jadi sumber pendapatan kalau kita rajin usaha.
“Jangan tunggu ada ladang luas baru nak bergerak. Mula dulu dengan apa yang kita ada,” kata Mohamad lagi menerusi Facebook beliau.
BACA JUGA Semua pakat guna alasan dakwah belaka