Aiman Athirah lancar Ihya Ramadan Sepang, RM490,380.00 diperuntuk untuk 40 masjid dan 20 surau

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Ihya Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada masjid & surau serta penyerahan Kotak KASIH oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu Timbalan Menteri KPKT merangkap Ahli Parlimen Sepang di perkarangan Masjid Al-Makmur, Kg. Tanjung Sepat, Sepang Selangor. 19hb Februari 2026 (Khamis)

Program yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Makmur itu menjadi pembuka tirai kepada pelbagai pengisian Ramadan di Sepang dengan kira-kira 12 hingga 13 program dirancang sepanjang bulan mulia berkenaan.

Menurut Aiman Athirah, pada majlis tersebut sebanyak 40 masjid dan kira-kira 20 surau solat Jumaat di seluruh Parlimen Sepang menerima sumbangan, selain beberapa surau taman yang turut mengemukakan permohonan bantuan.

Beliau berkata, kejayaan menyalurkan bantuan secara serentak tahun ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, zakat serta rakan NGO yang membantu memperluas manfaat kepada komuniti setempat.

“Insya-Allah, selain sumbangan kepada institusi masjid dan surau, kita juga akan melaksanakan ziarah kasih ke rumah asnaf dengan penyampaian bakul makanan Kotak KASIH serta program iftar bersama kelompok asnaf dan agensi yang berkhidmat di Sepang,” katanya.

Tambah beliau, antara pengisian lain ialah program santunan pasukan barisan hadapan melibatkan balai bomba, balai polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di 13 lokasi sekitar Sepang pada 24 dan 25 Februari, termasuk edaran juadah sahur serta sesi bersahur bersama petugas.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut melancarkan inisiatif Rice for Life yang menyediakan lebih 1,000 kampit beras untuk diagihkan kepada golongan asnaf melalui pusat khidmat Parlimen serta rangkaian ketua kampung dan komuniti setempat.

Beliau memaklumkan keseluruhan program Ramadan Parlimen Sepang tahun ini menelan perbelanjaan sekitar RM490,380.00 meningkat berbanding tahun sebelumnya hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat dan dana zakat.

Selain itu, satu program berskala besar turut dirancang pada 7 Mac di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA melibatkan himpunan 1,000 wanita menerusi Tadarus dan Khatam Perdana bersempena Nuzul al-Quran serta sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Program tersebut dijadual bermula dengan Qiyamul Lail, sahur berjemaah, kuliah subuh, diikuti tadarus dan khatam al-Quran sebelum zuhur, dengan penyertaan wanita seluruh Sepang dan kawasan sekitar.

Majlis pelancaran Ihya Ramadan itu mencerminkan komitmen berterusan Parlimen Sepang dalam memperkukuh kebajikan masyarakat serta memeriahkan penghayatan Ramadan melalui pendekatan inklusif dan menyeluruh.