Dugaan hari pertama Ramadan, khemah peniaga bazar terbang akibat hujan lebat

Dugaan hari pertama Ramadan apabila bazar terpanjang di Bandar Tasik Puteri, dekat Rawang rosak akibat hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

Video keadaan bazar yang agak kucar kacir dengan beberapa khemah peniaga diterbangkan angin, berlegar di media sosial.

Jualan makanan dan minuman serta peralatan lain juga rosak akibat dibasahi hujan.

Menurut seorang peniaga, kawasan terbabit dipercayai terdedah dengan risiko angin kencang oleh kerana kawasannya yang lapang.

“Bazar Ramadan terpanjang di Malaysia. Kami peniaga yang dah lama berniaga dekat (sini) banyak menolak jangan buat dekat star market sebab tanah lapang.

“Bila angin tiup sekali sahaja habis..tapi apakan daya suara kami sebagai peniaga ini kecil sahaja. Selamat menyambut Ramadan semua,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Dalam rakaman lain, para peniaga terpaksa menahan khemah masing-masing menggunakan kudrat sendiri daripada diterbangkan angin kencang.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik oleh @chefazreen86 di TikTok hari ini, keadaan cuaca pada awalnya dilihat tenang sebelum bertukar ganas hanya dalam beberapa minit.

Angin kencang menggoncang khemah dan membasahi keseluruhan kawasan tapak bazar yangturut dikenali sebagai Bazar Ramadan Santai dalam kalangan orang ramai.