Takiyuddin atau Samsuri? Perebutan dalaman PN makin memuncak

Spekulasi mengenai pengganti Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semakin hangat diperkatakan sekaligus mencerminkan ketidaktentuan hala tuju kepimpinan pembangkang.

Setakat ini, pengerusi baharu PN nampaknya ‘wajib’ datang dari Pas seperti telah ditegaskan presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Dua nama yang kini berlegar sebagai calon utama ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN di Parlimen dilihat mempunyai kelebihan dari segi pentadbiran dan koordinasi dengan berpengalaman dalam rundingan politik pusat serta pengurusan organisasi parti.

Namun, di sebalik pengalaman itu, Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan dikatakan kurang memiliki daya tarikan besar di mata pengundi umum.

Dalam era politik yang menuntut karisma dan pengaruh meluas, kekuatan teknikal semata-mata mungkin tidak cukup untuk mengemudi sebuah gabungan yang sedang bergelut mencari arah.

Sementara itu, Ahmad Samsuri, 55, tampil dengan imej pentadbir negeri yang berorientasikan tadbir urus.

Statusnya sebagai Menteri Besar Terengganu menjadikannya antara pemimpin Pas yang mempunyai profil eksekutif paling menonjol.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kemaman berkenaan nampaknya belum diuji dalam rundingan politik nasional yang kompleks atau krisis gabungan besar.

Penolakan dalaman

Lebih menggemparkan, suara penolakan dalaman turut kedengaran apabila menantu kepada Presiden Pas sudah memberi amaran bahawa Pas berisiko kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen jika Samsuri mengambil alih kepimpinan PN.

Dakwaan Zaharudin Muhammad itu kononnya bersandarkan data dalaman parti yang enggan didedahkan.

Apapun, foto pertemuan Samsuri bersama Mahiaddin bulan lalu dengan dengan kapsyen ringkas “Alhamdulillah, insya-Allah” seolah-olah signal bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu akan ‘merampas’ kerusi Pengerusi PN.

Teka-teki siapa akan dilantik Pengerusi PN dijangka terjawab pada 22 Februari ini apabila Majlis Tertinggi PN mengadakan mesyuarat luar biasa di ibu pejabat Pas di Kuala Lumpur.

Selain jawatan pengerusi baharu, perbincangan mengenai ketua pembangkang di Parlimen juga dijangka menjadi agenda panas.

Buat masa ini, bayangan ‘sinar’ mungkin memihak kepada Takiyuddin. Namun, apa jua keputusan, perebutan kerusi teratas PN jelas mendedahkan bahawa gabungan itu masih mencari arah.

Masa depan kepimpinan PN kekal dalam tanda tanya besar ketika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin hampir.

BACA JUGA Pas memang berhasrat ambil alih PN, kata Hadi