Bekalan makanan stabil, usahawan dibela: Dua menteri dipuji beri hasil nyata Ramadan ini

Prestasi dua menteri Kabinet atas hasil kerja yang dirasai rakyat di lapangan wajar dipuji apabila bekalan makanan mencukupi manakala golongan usahawan kecil pula dibantu sempena Ramadan ini.

Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Tasek Gelugor, Fitri Termizi berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang disusuli Ramadan tahun ini berlangsung tanpa gangguan terhadap bekalan barangan keperluan asas.

Menurutnya, bekalan makanan seperti ayam, daging, telur, cili dan bawang mencukupi di pasaran sekali gus mencerminkan pengurusan rantaian bekalan yang lebih tersusun di bawah Kerajaan MADANI.

“Semuanya ada di pasaran dan dengan harga berpatutan,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok hari ini.

@fitritermizi1

Dah 3 hari Ramadan, barangan keperluan tetap ada di pasaran dengan harga yang berpatutan. Tahniah YB Menteri! Tahniah Madani!

♬ original sound – Fitri Termizi – Fitri Termizi

Fitri turut berkongsi pengalaman di kawasan beliau di Pulau Pinang yang menunjukkan harga daging kekal berpatutan.

“Daging tempat saya pun paling tinggi RM30 sekilogram. Kalau Jualan Rahmah, RM28 saja sekilo.

“Kelmarin, saya jumpa daging RM26 sekilo di depan Masjid Pokok Machang (di Tasek Gelugor, Pulau Pinang),” kata bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu.

Keberkesanan usaha

Justeru, beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai bukti keberkesanan usaha Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal stabil.

“Punyalah hebat YB Mohamad Sabu buat kerja. Mana ada bunyi apa pun tapi hasil ada.

“Dulu hangpa kata kat dia macam-macam. La ni masa dia buat kerja, ada hasil hangpa tak puji pula. Hangpa lupa kat dia. Bagilah kredit sikit,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fitri turut memuji inisiatif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, yang memperkenalkan skim pembiayaan khas bagi usahawan kecil sempena Ramadan dan Aidilfitri melalui TEKUN Nasional di bawah kementerian terbabit.

Beliau berkata, skim berkenaan menyediakan pembiayaan mudah sehingga RM30,000 bagi membantu peniaga kecil di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri mendapatkan modal perniagaan tanpa syarat yang membebankan.

“Tak pernah ada sejarah sebelum ini, menteri yang jaga usahawan peduli tentang usahawan kecil ketika Ramadan dan Hari Raya.

“Bila usahawan kecil ada modal, mereka boleh berniaga dengan lebih tenang dan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

“Sebelum ini, memang ada skim mikro, tetapi skim khas sempena Ramadan seperti ini belum pernah diperkenalkan.

“Seorang menteri Cina pula boleh jaga usahawan kecil,” kata Fitri lagi.

Untuk rekod, pembiayaan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) berjumlah RM50 juta adalah untuk usahawan mikro yang akan menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan.

Sempena Tahun Cina Baharu yang lepas juga, Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) berjumlah RM30 juta untuk golongan sasar sama.

Dua program pembiayaan khas terbabit dilapor memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,666 usahawan kecil dan sederhana.

Mengulas lanjut, Fitri berkata, penghargaan sewajarnya diberikan kepada kedua-dua menteri berkenaan atas usaha yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Terima kasih kepada kedua-dua menteri ini. Bila kerja menjadi dan hasil dirasai, wajarlah kita beri pujian dan pengiktirafan,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Selepas Caprice belikan sejambak bunga mawar, ini Rafizi akan buat