Hannah gesa peniaga BRR tawar harga berpatutan tanpa jejas keuntungan

FOTO BERITA: Sesi Walkabout ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Kuala Lumpur bersama YB Hannah Yeoh Menteri Wilayah Persekutuan di Bazar Ramadan Rahmah Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. 20hb Februari 2026 (Jumaat)

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh menggesa peniaga di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) menawarkan harga berpatutan tanpa menjejaskan keuntungan, sekali gus membantu pengunjung mendapatkan juadah berbuka pada kos lebih rendah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi walkabout ke Bazar Ramadan Rahmah Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, yang turut menjadi antara lokasi utama pelaksanaan BRR di ibu negara tahun ini

Menurut Hannah, pendekatan kadar sewaan rendah sebanyak RM400 yang ditetapkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bazar berkenaan bertujuan membantu peniaga mengurangkan kos operasi dan seterusnya menawarkan harga makanan yang lebih mesra pengguna.

“Kita mahu peniaga masih memperoleh keuntungan tetapi pada masa sama boleh mengenakan harga rendah supaya pelawat yang datang tidak terbeban apabila membeli makanan,” katanya.

Beliau turut menjemput penduduk sekitar Bandar Tun Razak dan warga Kuala Lumpur untuk memeriahkan bazar tersebut yang dilengkapi kanopi besar bagi memastikan keselesaan pengunjung walaupun dalam keadaan panas atau hujan.

Dalam pada itu, Hannah menekankan aspek kebersihan sebagai keutamaan sepanjang operasi bazar Ramadan. Beliau mengingatkan peniaga agar memastikan kawasan gerai sentiasa bersih dan mengurus sisa makanan dengan baik setiap hari bagi menjamin persekitaran yang selesa kepada pengunjung.

“Saya harap semua peniaga dan pengunjung dapat bekerjasama menjaga kebersihan supaya bazar ini kekal teratur dan menyenangkan untuk semua,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, rakan penaja serta pengunjung yang menyokong penganjuran bazar berkenaan, selain berharap inisiatif BRR terus diperkasa pada masa hadapan demi kesejahteraan peniaga dan pengguna sepanjang Ramadan.