Ribuan rumah di Sabah tenggelam, mangsa banjir terus meningkat, Sarawak buka PPS pertama

Banyak kediaman di Pitas, utara Sabah kini ditenggelami air sejak semalam seperti dikongsikan Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah mangsa bencana alam itu meningkat kepada 4,652 orang setakat jam 4 petang tadi berbanding 3,768 orang pada jam 12 tengah hari.

“Kesemua mangsa daripada 1,799 keluarga itu ditempatkan di 25 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Pitas, Kota Marudu dan Paitan,” menurut sekretariat itu dalam satu kenyataan hari ini.

JPBN juga memaklumkan daerah Pitas mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 2,013 orang (787 keluarga) berbanding 1,653 orang (621 keluarga) tengah hari tadi.

Sementara itu, Paitan merekodkan peningkatan mendadak kepada 716 mangsa (234 keluarga) berbanding 192 mangsa sebelumnya.

Sementara itu, JPBN Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan sebuah PPS dibuka di Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong, Kuching pada jam 11 pagi tadi.

“Seramai 63 mangsa daripada 17 keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan dan trend pemindahan mangsa ketika ini menunjukkan peningkatan,” menurut kenyataan itu.

Pada 18 Februari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca lembap berterusan di Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini.

MetMalaysia menjangkakan hujan berlaku di beberapa kawasan susulan luruan angin monsun yang memasuki rantau negara.

@bencanaalam.sabah

Banjir Besar di Kampung Tangkarason, Beluran 🗓️ 20 Februari 2026 | Awal pagi Rakaman ini dikongsikan oleh penduduk setempat, memaparkan keadaan banjir besar yang melanda Kampung Tangkarason, Beluran kelmarin. Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak 19 Februari, yang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat di kawasan kampung itu. 🙏 Semoga semua penduduk berada dalam keadaan selamat dan dipermudahkan segala urusan. — Bencana Alam Sabah #banjir #Beluran #fyp #Hujanlebat #MonsunTimurLaut

♬ original sound – Bencana Alam Sabah – Bencana Alam Sabah

BACA JUGA Sebelum ke bazar Ramadan, ketahui trend kes tibi, tiga negeri ini rekod kes tertinggi