Selepas Caprice belikan sejambak bunga mawar, ini Rafizi akan buat
Datuk Seri Rafizi Ramli akan tetap meneruskan tindakan saman terhadap Caprice selepas selebriti itu tidak mengendahkan peluang yang diberikan kepadanya selama beberapa hari untuk memohon maaf.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kandungan yang dilakukan oleh Caprice itu disifatkan memang menuduh beliau mempunyai kepentingan manfaat di dalam syarikat miliknya iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd.
“Pertanyaan yang berbentuk tuduhan atau sindiran tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan undang-undang di bawah undang-undang fitnah.
“Sebaliknya, elemen seperti innuendo dan sindiran tersirat juga boleh diambil kira oleh mahkamah dalam menilai sama ada sesuatu kenyataan itu fitnah atau tidak,” tegasnya.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata demikian menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama moderator Haziq Azfar Ishak, malam tadi.
Semalam, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dalam sidang media di ibu negara secara simbolik ‘menghadiahkan’ sejambak bunga mawar kepada Rafizi sebagai tanda permohonan maaf.
“Saya menghulurkan tangan kepada Rafizi. Kalau Rafizi sudi, Cap sedia untuk berdamai.
“Saya belikan anda bunga hari ini, bunga ini mungkin tahan sekitar tujuh hari sebelum layu.
“Jadi, saya harap dalam masa tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai.
“Saya juga meminta maaf dan jangan saman saya, Kami hanya tanya soalan yang bagi Cap, soalan relevan,” kata pelantun lagu ‘Takut’ bersama Yonnyboii itu lagi.
Rafizi dalam podcast malam tadi turut menegaskan bahawa segala bukti yang ditunjukkan itu disifatkan memberi peluang besar kepadanya untuk menang saman.
Jelasnya, tiada sebarang elemen yang boleh menuduh beliau mempunyai konflik kepentingan.
“Elemen yang perlu dilihat ialah adalah adakah rasuah itu berlaku, terdapat pemberi dan penerima dan campur tangan.
“Kalau betul saya menerima rasuah, sudah lama saya ke dalam penjara. Tapi sampai sekarang tidak berlaku pun.
“Saya yakin Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memantau setiap hari,” kata Rafizi lagi.
BACA JUGA ‘Buang rasa malu, didik anak bersyukur’, 6 tahun keluarga ini berbuka di masjid