Drama Perikatan Nasional minggu ini
Setelah sebulan tiga minggu berlalu, Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan pengerusinya hari ini.
Sebanyak 52 hari diperlukan oleh blok pembangkang untuk memutuskan siapa yang akan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Laporan media kelmarin memetik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai berkata bahawa Pengerusi PN akan diputuskan hari ini.
Sebelum ini pun, Pas seringkali menyatakan hasrat untuk menduduki kerusi ulung di dalam blok pembangkang itu.
Pemerhati politik, Raggie Jassie dalam audio siarnya meramalkan Pas tidak akan mengambil alih kepimpinan PN meskipun dua nama pemimpin disebut-sebut iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar (PN-Kemaman). Samsuri juga Menteri Besar Terengganu.
Ketua Pembangkang yang baharu juga akan turut diputuskan dalam mesyuarat hari ini, menurut Hadi.
Ini ekoran pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dari Bersatu. Hamzah sebelum ini timbalan presiden parti tersebut.
Drama pembangkang ini akan berterusan ke Dewan Rakyat kerana ketua Jawankuasa Kira Kira Awam Parlimen sebelum ini diketuai oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah telah meletakkan jawatan dan menyertai Hamzah.
Perpecahan pembangkang juga semakin meruncing apabila Hamzah diberitakan akan mengumumkan pembentukan parti baharu pada minggu ini.
Keadaan pelik yang melanda Bersatu juga akan dapat ditonton pada minggu ini kerana baki anggota Parlimen Bersatu akan menjadi kurang berbanding dengan kumpulan bersama Hamzah.
Dalam keadaan ini, apakah Bersatu sanggup menerima Hamzah sebagai parti rakan dalam PN?
Kita tunggu dan lihat sambil makan bertih jagung.
BACA JUGA: Hamzah bakal sertai parti baharu minggu depan dengan 16 MP Bersatu?