Exco kerajaan Terengganu ditahan SPRM
Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini atas tuduhan salah guna kuasa.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an itu dikatakan telah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan di negeri tersebut mengambil dua anaknya untuk bekerja.
Beliau ditahan pada jam 11.15pagi di pejabat SPRM Kemaman.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada tahun 2018 dan 2020.
“Suspek yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) salah sebuah daerah di negeri ini dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua anak syarikat kerajaan negeri,” sumber dilaporkan berkata.
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat di mahkamah.
Seksyen berkenaan adalah berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan oleh pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri, saudara, atau sekutu.
Hukuman bagi kesalahan ini ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
BACA JUGA: SPRM tahan Pengerusi IJM Corporation, kediaman digeledah