KKM Mulakan Operasi Bazar Ramadan 2026, tekankan amalan “Perhati dan Pilih” kepada pengunjung

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2026 bersama YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan di Bazar Ramadan Hadapan Lotus’s Kuala Selangor, Selangor. 21hb Februari 2026 (Sabtu)

Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2026 disempurnakan oleh Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, dalam satu program walkabout di Bazar Ramadan hadapan Lotus’s Kuala Selangor,

Program tersebut menandakan pelancaran rasmi Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2026 serta simbolik permulaan Operasi Bazar Ramadan di seluruh negara. Sesi walkabout berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan makanan yang dijual di bazar selamat dan berkualiti.

Dalam program itu, Dzulkefly turut menyampaikan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui amalan “Perhati dan Pilih” kepada pengunjung bazar bagi membantu mereka membuat pilihan makanan yang bersih dan selamat sepanjang Ramadan.

Menurut KKM, pemantauan bazar Ramadan telah dimulakan seawal Februari menerusi kerjasama semua Jabatan Kesihatan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti tapak dan jumlah gerai. Sehingga kini, sebanyak 202 sesi taklimat kebersihan dan pengendalian makanan selamat telah dilaksanakan melibatkan pengusaha daripada 77,583 gerai di 1,274 tapak bazar di seluruh negara.

Selain itu, pemeriksaan awal turut dilakukan ke atas premis penyediaan makanan termasuk restoran, hotel dan kilang ais yang menyediakan bufet berbuka puasa. Sebanyak 426 pemeriksaan telah dijalankan setakat ini bagi memastikan pematuhan standard keselamatan makanan.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan pemantauan bersepadu terhadap premis bazar Ramadan serta pembekal bahan mentah. Pengendali makanan juga diperiksa bagi memastikan mereka mengikuti Latihan Pengendali Makanan dan menerima suntikan anti-tifoid, selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.

Dalam masa sama, kementerian mempergiat pengukuhan kawalan keselamatan makanan di semua peringkat industri makanan bagi mencapai sasaran kadar keracunan makanan kurang daripada 50 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2030. Sasaran itu sejajar dengan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Kebangsaan 2024–2030 dan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan 2.0, selain mempromosikan pilihan menu lebih sihat kepada pengguna.

KKM turut menasihatkan peniaga supaya mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan makanan, manakala orang ramai digalakkan mengamalkan konsep “Lihat, Hidu, Rasa” sebelum menikmati juadah berbuka puasa bagi mengurangkan risiko keracunan makanan.

Sebarang aduan berkaitan keselamatan makanan boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, selain melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Facebook PKKM dan talian WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan yang disediakan oleh KKM.