Selepas kes SPRM di Perlis, Terengganu, di mana integriti Pas?
Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Muhammad Farid Mumazaini menyoal integriti Pas susulan penahanan seorang Exco Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan kerja bagi dua anak di syarikat berkait kerajaan negeri.
“Lebih mengejutkan dan memalukan, perkembangan ini berlaku sejurus selepas negara dikejutkan dengan penahanan anak kepada Menteri Besar Pas Perlis oleh SPRM, yang disiasat berkaitan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000. Kini episod yang sama seolah-olah berulang di Terengganu,” kata Farid di dalam satu kenyataan.
“Persoalannya, di manakah integriti yang selama ini dilaungkan Pas? Bersihkah Pas seperti yang sering didakwa, atau slogan “Perihatin, bersih dan stabil” itu hanyalah topeng politik yang runtuh apabila berdepan dengan realiti kuasa?
“Pemuda AMANAH menegaskan bahawa siasatan mesti dijalankan secara bebas dan tanpa campur tangan politik. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri Terengganu perlu menjelaskan pendirian rasmi mereka.
“Adakah Exco berkenaan akan digantung tugas sementara siasatan berjalan? Adakah audit dalaman akan dibuat terhadap semua lantikan dalam GLC negeri bagi memastikan tiada unsur kronisme dan nepotisme?
“Apabila kuasa digunakan untuk kepentingan keluarga, ia menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Pas tidak boleh terus bercakap soal moral dan integriti jika dalam masa yang sama gagal menunjukkan contoh kepimpinan yang telus dan bertanggungjawab.”
Anggota Exco yang berusia dalam lingkungan 60-an itu telah ditahan pada pukul 11.30 pagi ini di pejabat SPRM Kemaman.
BACA JUGA: Exco kerajaan Terengganu ditahan SPRM