Berita baik, Rapid Rail panjangkan tempoh waktu puncak sepanjang Ramadan
Kementerian Pengangkutan memaklumkan Rapid Rail akan memanjangkan tempoh waktu puncak perkhidmatan rel sepanjang bulan Ramadan bagi menampung perubahan corak perjalanan pengguna.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, waktu puncak pagi akan dipanjangkan bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa.
Manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari 4.00 petang hingga 8.00 malam berbanding 5.00 petang hingga 7.30 malam pada bulan lain.
Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan setiap kali Ramadan sebagai pendekatan proaktif memastikan kelancaran operasi dan keselesaan penumpang.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi khususnya dalam mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa”, katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang bertanya sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah sempena Ramadan yang melihat perubahan pola pergerakan.
Selain itu, Anthony juga berkata, Rapid KL mempunyai kesiapsigaan sepanjang masa, bukan sahaja pada Ramadan bahkan pada bulan-bulan lain dengan mengamalkan pencegahan dan pemulihan.
Beliau juga mengakui gangguan teknikal sukar untuk diramal dan dibendung kerana isu teknikal boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Apa sahaja gangguan perlu diminimumkan untuk memastikan gangguan kepada pengguna dapat dikurangkan dan Prasarana telah pun mengambil pelbagai langkah untuk memastikan gangguan ini dapat diminimumkan,” katanya.
Jelasnya, Rapid KL juga meletakkan kakitangan teknikal di dalam tren sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gangguan supaya langkah mitigasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.
BACA JUGA Walau harga tapak RM400, kanopi besar bagi keselesaan ketika hujan