Pasang CCTV di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diseru untuk memasang kamera kitar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara.
“Memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku di kawasan berkenaan, saya amat berharap agar pihak DBKL dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara demi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku,” kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Kereta beliau telah dipecah dan beliau juga kehilangan wang tunai.
“Semalam, saya pergi berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada jam 6.15 petang, sejurus selepas hujan lebat berhenti.
“Apabila saya kembali ke kereta pada jam 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan.
“Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang.
“Saya hilang kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting yang lain.”
BACA JUGA: Ringgit akhirnya tembus paras tertinggi dalam tempoh 8 tahun