Boleh pula Exco Terengganu ditahan SPRM kekal jalankan tugas?
Orang ramai dilihat mengkritik tindakan kerajaan Pas negeri Terengganu yang membolehkan Exco yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas seperti biasa.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri berpegang kepada prinsip undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui perbicaraan yang adil.
“Exco kekal dan (tugas) berjalan seperti biasa.
“Mengikut prinsip undang-undang, seseorang belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh perbicaraan yang adil,” katanya, dipetik BH.
Exco berkenaan difahamkan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu jam 9 pagi ini.
Dia disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, SPRM Terengganu dilapor menahan Exco kerajaan Terengganu kerana disyaki salah guna kedudukan.
Pemimpin Pas berkenaan dikatakan telah mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.
BACA JUGA Kenapa kerajaan Pas Kedah tidak bertindak tegas terhadap penceroboh kuil haram?