Dah ada yang sedia cabar Samsuri di Parlimen Kemaman
Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Zamir Ghazali, menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri sebagai calon bagi menentang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut beliau, hasrat itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan parti serta sokongan rakan sekutu dalam gabungan, khususnya UMNO, bagi memberi laluan kepada pertandingan satu lawan satu di kerusi berkenaan.
“Jika parti AMANAH bersetuju, ambe (saya) mahu tawarkan diri bertanding lawan Dr Samsuri di Parlimen Kemaman dalam PRU-16.
“Harap rakan-rakan UMNO setuju dan beri ruang kepada ambe untuk lawan satu sama satu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Kerusi Parlimen Kemaman ketika ini disandang oleh Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.
Samsuri memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan raya kecil pada 2023 dengan majoriti besar.
Mengulas lanjut, Zamir turut menyatakan bahawa beliau mahu melihat Samsuri tewas di Parlimen tetapi kekal di peringkat negeri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Menteri Besar Terengganu.
“Saya mahu Dr Samsuri tewas di Parlimen dan kekal di DUN sekaligus sambung Menteri Besar selagi daya.
“Bukan apa, saya dan rakyat Terengganu sebenarnya tidak mahu kehilangan sumber inspirasi GDP dan jurutera PhD terbaik Kebahagian Negeri.
“Jangan ambil nikmat bahagia kami. Tidak adil, dan kami tidak reda,” kata Zamir lagi.
BACA JUGA Exco Pas Terengganu didakwa salah guna kuasa demi dua anak