Hamzah fail saman RM100 juta terhadap Redzuan

Kemelut dalaman Bersatu terus memuncak apabila bekas Timbalan Presiden parti yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memfailkan saman RM100 juta terhadap pengasas Bersatu, Datuk Seri Redzuan Yusof.

Ia berhubung dakwaan bahawa Redzuan pada 2023 telah mengatur enam Ahli Parlimen dari parti itu untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut NST, Hamzah menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100 juta, serta faedah dan kos.

Beliau juga menuntut Redzuan menarik balik kenyataan selain memohon maaf terbuka tanpa syarat melalui media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu, mengikut terma dipersetujui pihaknya.

Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataannya diterbitkan di Berita Harian pada 5 Nov 2025 yang dianggap palsu, berniat jahat dan mencemar reputasinya sebagai ketua pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.

Selain itu, Redzuan mendakwa Hamzah telah mendesak Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk meletakkan jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen dari parti itu menyokong Anwar Ibrahim dan mensabotaj parti sehingga kumpulan itu digelar ‘6 Jahanam’.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Hamzah berkata, penyiaran meluas kenyataan itu melalui akhbar dan platform digital mendedahkannya kepada kritikan, kebencian dan cemuhan awam, selain menjejaskan keyakinan ahli parti serta orang ramai terhadap peranannya sebagai Ketua Pembangkang

BACA JUGA Dah ada yang sedia cabar Samsuri di Parlimen Kemaman