Kenapa kerajaan Pas Kedah tidak bertindak tegas terhadap penceroboh kuil haram?

Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pas dituntut supaya bertindak tegas terhadap pembinaan rumah ibadat yang gagal mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.

Seorang aktivis, Aman Muhammad berkata, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu memberi penjelasan berhubung penceroboh kuil haram.

Beliau berkongsikan perbualannya dengan seorang pegawai bertugas satu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah berhubung isu binaan kuil yang meragukan di lebuh raya Jitra-Bukit Kayu Hitam bersebelahan Institut Kemahiran Belia Negara.

Hasil perbualan itu, Aman berkata, pegawai berkenaan memaklumkan bahawa status binaan yang dimaksudkan adalah tidak sah.

Menurut pegawai yang dinamakan sebagai En. Z itu, pihak majlis telah mengeluarkan notis amaran terhadap salah satu kes di kawasan bulatan Jitra susulan aduan penduduk setempat.

Aktivis tersebut turut membangkitkan beberapa binaan lain di sekitar Kubang Pasu termasuk di bulatan Jitra, bersebelahan dengan stesen minyak BHP Petrol yang meragukan statusnya.

“Aku juga ada sebut mengenai ada sekurang-kurangnya tujuh kuil dalam sekitar daerah Kubang Pasu, ada tiga lagi di tepi Sungai Besar, dia pun agak terperanjat bila aku sebut.

“Aku tanya dia, apa status kuil-kuil yang lain? En. Z cakap pihak majlis kena semak balik sebab, tak boleh nak cakap secara tepat, tapi pandangan peribadi, kebanyakannya adalah tidak sah,” tulisnya.

Semakan terperinci

Pegawai PBT juga berkenaan memberitahu semakan terperinci perlu dibuat kerana setiap kes melibatkan prosedur berbeza.

Ia termasuk semakan status tanah, pengesahan agensi berkaitan serta keperluan mendapatkan perintah daripada kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan lebih tegas, termasuk perobohan, boleh dilaksanakan.

Pegawai tersebut juga menambah bahawa penyediaan senarai lengkap rumah ibadat yang sah dan tidak sah di daerah berkenaan memerlukan pengesahan pelbagai agensi serta semakan fail lama, sekali gus mengambil masa yang panjang.

Dalam masa sama, pegawai PBT terbabit, kata Aman, memaklumkan bahawa keputusan akhir untuk perintah meroboh mesti datang dari kerajaan negeri, bukan dari PBT.

“… Kenapa kerajaan Pas Kedah masih tidak mahu bertindak tegas meroboh dan menangkap penceroboh kuil haram?

“Yang ni kena Menteri Besar Kedah jawab,” kata Aman lagi yang menyifatkan perbualan beliau dengan En Z berlangsung sangat harmoni dan mesra lantaran pegawai PBT berkenaan sangat memberi kerjasama.

BACA JUGA Patutlah Khairul Aming pandai borak dengan geng makcik