Majlis Iftar KUSKOP erat ukhuwah, salur sumbangan kepada anak yatim

FOTO BERITA: Majlis Iftar KUSKOP 2026 bersama YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Bizmilla Event Hall, Shaftsbury Putrajaya. 23hb Februari 2026 (Isnin)

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini menganjurkan Majlis Iftar 2026 yang berlangsung di Bizmilla Event Hall, Shaftsbury Putrajaya sebagai platform tahunan bagi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian, agensi serta pemegang taruh di samping menghayati keberkatan bulan Ramadan.

Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, serta sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam tazkirah selama kira-kira 30 minit, beliau menekankan bahawa Ramadan merupakan medan terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan amalan serta membentuk peribadi yang lebih baik melalui kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Pada majlis sama, Steven Sim turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM18,000 daripada KUSKOP dan agensi di bawahnya kepada Rumah Bakti Al Kausar. Beliau juga menyerahkan sumbangan wang tunai RM10,000 berserta barangan keperluan asas termasuk makanan kepada 20 anak yatim dari rumah amal berkenaan.

Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan komitmen kementerian dalam menghayati nilai Ramadan melalui semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial.

KUSKOP dalam kenyataan memaklumkan akan terus memperluas peranannya dalam memperkasa usahawan dan koperasi demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat, selari dengan aspirasi memperkukuh ekonomi rakyat.