Anwar puji keberanian tujuh pemuda selamatkan tiga nyawa dalam nahas

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil selepas kenderaan mereka terlibat dalam nahas dan terjunam ke dalam tasik di Tasik Biru, Kundang kelmarin.

Dalam kenyataannya, beliau mengakui tersentuh apabila membaca kisah keberanian pemuda-pemuda berkenaan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, tindakan nekad mereka yang mendahulukan nyawa orang lain berjaya menyelamatkan tiga nyawa dalam insiden tersebut.

“Penghargaan setulusnya buat tujuh pemuda ini. Keberanian dan keikhlasan kalian mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.

“Saya juga mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak ini diberi kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan ALLAH SWT,” kata beliau.

Terdahulu, tujuh pemuda terbabit bertindak terjun ke dalam Tasik Biru, Kundang dekat Rawang dengan membentuk ‘rantai manusia’ bagi menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya selepas kenderaan Proton X50 dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik itu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan lanjut.

BACA JUGA Pelajar pijak al-Quran direman 4 hari, UMPSA tubuh jawatankuasa siasatan