Buli 2,000 lebih manakala salah laku jenayah di sekolah lebih daripada 3,000 kes dalam tahun 2025
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan kes buli yang direkodkan bagi tahun 2025 ialah 2,889 kes manakala kes salah laku jenayah pula melangkaui 3,000 kes.
“Berdasarkan data KPM bagi tahun 2025, sebanyak 2,889 kes salah laku buli telah direkodkan dengan 740 kes sekolah rendah dan 2,149 kes sekolah menengah.
“Manakala, bagi kategori salah laku jenayah pula, sebanyak 3,570 kes telah direkodkan dengan 457 kes sekolah rendah dan 3,113 kes sekolah menengah,” kata Fadhlina dalam jawapan bertulisnya kepada Ganabatirau (PH-Klang).
“Tahun 2024 mencatatkan jumlah kes buli tertinggi iaitu sebanyak 7,681 kes dengan melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
“Peningkatan perekodan kes ini adalah hasil peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru dan pentadbir sekolah terhadap pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023.,” tambah beliau.
Bagi mengatasi cabaran kes buli dan salah laku jenayah, konsep Sekolah Selamat dan beberapa langkah telah diperkenalkan.
“Sehingga 19 November 2025, sebanyak 1,758 buah sekolah telah terlibat di dalam audit keselamatan.
“KPM turut menyemak semula SOP bagi salah laku buli dan salah laku seksual serta melaksanakan reformasi sistem aduan buli untuk melindungi identiti pengadu dan saksi.
“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) beserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuhkan melalui penempatan baharu sebanyak 523 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling telah ditempatkan di sekolah seluruh negara pada tahun 2025.
“Mulai tahun 2026, KPM akan turut memperkukuh aspek pengawasan dengan melaksanakan pelantikan 600 orang pembantu warden asrama (MyPWA) khususnya bagi membantu pemantauan pada waktu malam.
“Langkah ini memberi sokongan tambahan kepada pihak sekolah dalam pengurusan keselamatan murid.”
BACA JUGA: Dewan Rakyat kecoh, MP Pas tergagap nak jawab selepas diasak soalan