Khalid Samad seru politik berakhlak sempena berbuka puasa di Cheras

FOTO BERITA: Majlis Berbuka Puasa AMANAH Bandar Tun Razak bersama Tuan Hj Khalid Samad Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan. Turut hadir Ketua AMANAH Bandar Tun Razak Ir Hj Hayatul Kamil Termudi di Restoran Kapitan Bandar Sri Permaisuri Cheras Kuala Lumpur. 24hb Februari 2026 (Selasa)

Majlis Berbuka Puasa anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Bandar Tun Razak berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah apabila pimpinan kawasan dan Wilayah Persekutuan berhimpun di Restoran Kapitan Bandar Sri Permaisuri, malam tadi.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, bersama Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Muhammad Faris Arriffin, Ketua AMANAH Bandar Tun Razak Hayatul Kamil Termudi, Ketua AMANAH Bukit Bintang Ahmad Asri Talib, serta barisan pimpinan kawasan dan ahli.

Dalam ucapannya, Khalid menzahirkan rasa syukur atas kesempatan untuk berhimpun dalam bulan Ramadan, sambil menekankan kepentingan memperkukuh keimanan serta menjadikan kehadiran ke majlis sebegini sebagai amal soleh yang diberkati.

Beliau turut mengingatkan ahli tentang kepentingan sifat itsar iaitu mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri, yang disifatkan sebagai akhlak mulia dalam Islam. Khalid mengimbau kisah para sahabat yang saling mendahulukan rakan yang cedera untuk mendapatkan air, walaupun akhirnya mereka semua gugur syahid, sebagai contoh pengorbanan dan keutamaan terhadap orang lain.

“Politik yang dipandu akhlak Islam menuntut kita bertolak ansur, bermuafakat dan mengelakkan budaya fitnah atau perebutan kuasa. Dengan budaya politik yang bersih dan berakhlak, insya-Allah parti akan lebih kukuh,” katanya.

Majlis berbuka puasa itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pimpinan dan ahli di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Majlis berbuka puasa itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pimpinan dan ahli di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Sementara itu Ketua AMANAH Bandar Tun Razak, Ir. Hj. Hayatul Kamil Termudi mengadakan Penerangan Pendaftaran Ahli Baharu secara dalam talian sebelum berbuka puasa malam tadi.

Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah itu menghimpunkan ahli serta penyokong parti bagi mengeratkan silaturahim selain memberi pendedahan mengenai kaedah baharu pendaftaran keahlian secara digital.

Dalam ucapannya, Hayatul Kamil merakamkan penghargaan kepada hadirin yang hadir ke majlis iftar yang diadakan lebih awal pada Ramadan bagi memberi peluang kepada ahli menghadiri pelbagai program berbuka puasa lain di masjid, surau dan komuniti setempat.

“Amanah bukan sahaja parti politik, tetapi parti Islam yang menghayati Ramadan serta membawa mesej rahmatan lil ‘alamin,” katanya.

Proses pendaftaran dipermudahkan
dalam sesi penerangan, beliau menggalakkan ketua cawangan, pemuda dan sayap wanita membawa rakan yang berminat menyertai parti tetapi belum mendaftar sebagai ahli.

Menurutnya, proses pendaftaran kini lebih mudah apabila hanya memerlukan salinan kad pengenalan depan dan belakang yang dihantar kepada wakil kawasan untuk dimasukkan terus ke dalam sistem dalam talian tanpa penggunaan borang fizikal.

Permohonan keahlian, katanya, akan melalui proses semakan selama kira-kira dua bulan sebelum disahkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat peringkat nasional.

“Pendekatan digital ini mengelakkan kehilangan borang serta mempercepatkan pengurusan data ahli. Kita harap mereka yang berminat tidak segan untuk tampil,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan beberapa individu menyerahkan salinan kad pengenalan kepada wakil yang dilantik sebagai tanda minat menyertai parti, mencerminkan sambutan positif terhadap kempen menambah keahlian yang dijalankan sempena Ramadan.