Pas ambil alih PN ketika gabungan dalam fasa kecamuk
Pelantikan Pas sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) tidak dilihat sebagai langkah pengukuhan gabungan, sebaliknya mencerminkan keadaan sebenar PN yang sedang berdepan kelemahan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika PN berada dalam keadaan lebih tersusun dan stabil sebelum ini, kepimpinan gabungan diserahkan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Namun, perubahan kepimpinan berlaku ketika Bersatu berdepan pergolakan dalaman dan kedudukan gabungan dilihat semakin goyah.
“Ini suatu kebijasaanaan Tan Sri Muhyidin, dah Pas nak sangat jawatan Pengerusi PN. Ambik kau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, perubahan tersebut menimbulkan persoalan besar tentang masa dan tujuan pelantikan itu.
Katanya, kepimpinan yang lahir ketika organisasi berada dalam keadaan kuat adalah mandat, manakala kepimpinan yang muncul ketika organisasi retak berdepan cabaran mewarisi masalah sedia ada.
Mewarisi masalah
Beliau mengibaratkan situasi itu seperti pasukan bola sepak yang sedang tewas, di mana sesiapa yang mengambil lilitan kapten ketika pasukan kalah bukan mengambil kemenangan, sebaliknya mewarisi masalah yang sedang dihadapi.
“Hakikatnya, PN hari ini bukan berada dalam fasa pengembangan, tetapi fasa kecamuk. Bersatu berdepan perpecahan dan berselerakan.
“Struktur gabungan tidak lagi solid. Dalam keadaan sebegini, pertukaran jawatan tidak semestinya membawa kestabilan,” ujarnya.
Tambahnya, Pas juga belum menunjukkan rekod pengurusan krisis dalaman yang meyakinkan, merujuk kepada konflik dalaman yang menjejaskan pentadbiran di Perlis sebelum ini.
“Itu bukan kegagalan strategi pilihan raya. Itu adalah kegagalan kepimpinan mengurus perbezaan.
“Bagaimana ingin selamatkan PN seperti dihasratkan Presiden Pas, sedangkan Perlis yang kecil gagal diselamatkan?” tempelak beliau.
Jelasnya, jumlah kerusi Parlimen bukan ukuran kekuatan sebenar sesebuah parti atau gabungan, sebaliknya kekuatan politik diukur melalui kestabilan dalaman, disiplin organisasi dan keupayaan mentadbir.
“Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak menilai siapa memegang jawatan, tetapi siapa benar-benar mampu menyatukan dan memimpin dalam keadaan sukar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan kemampuan PN meyakinkan rakyat untuk mentadbir negara jika parti-parti dalam gabungan pembangkang itu sendiri belum stabil.
Tegasnya, perubahan jawatan pengerusi itu bukan simbol kebangkitan PN, sebaliknya lebih menyerupai usaha menyusun semula kepimpinan di atas struktur yang sedang bermasalah.
“Jawatan boleh bertukar tangan tetapi tanpa kestabilan dan kepercayaan, jawatan itu hanya sekadar gelaran bukan kepimpinan,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan lagi.
BACA JUGA Zaliha kesal dengan pendirian 10 MP PKR