Pas tegur Bersatu, lebih baik ‘berpuasa’ daripada serang kawan sendiri

Pas menegur tindakan rakan sekutunya, Bersatu yang berterusan menyerang secara terbuka membabitkan isu dalaman Perikatan Nasional (PN).

Pegawai kanan kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, adalah lebih baik untuk Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berpuasa daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Kata Syahir, melihat kepada banyaknya tugasan di Parlimen yang perlu diberi perhatian, maka hal-hal yang melibatkan perebutan jawatan dan kerusi tidak menjadi keutamaan mereka.

“Saranan saya kepada Ketua Penerangan Bersatu. Ada baiknya kita ‘berpuasa’ dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka. Tugasan kami di Parlimen amat banyak.

“Lebih baik Penerangan tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial, serang PH-Madani; bukan serang kawan sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau merujuk kepada gesaan Tun Faisal supaya Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Tun Faisal berkata, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

Sementara itu Syahir berkata, isu kedudukan di Parlimen lebih baik diserahkan kepada pucuk pimpinan.

Apatah lagi katanya, Pengerusi PN yang baharu pun belum sempat panaskan kerusi, selain perlu mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang lain sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4A(3).

“Sidang Dewan Rakyat berbaki empat hari sahaja lagi. Tumpuan kami kepada perbahasan; isu rakyat, isu nasional.

“Melainkan jika Bersatu inginkan jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah. 

“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Pemimpin kerajaan dan GLC Kelantan ketar lutut selepas Exco Terengganu didakwa