Pemimpin kerajaan dan GLC Kelantan ketar lutut selepas Exco Terengganu didakwa
Selepas pendakwaan dibuat ke atas Exco Kerajaan Negeri Terengganu kerana menyalahgunakan kedudukan dan memberikan rasuah dengan melantik anak sendiri di bawah GLC negeri, para pemimpin tertentu di Kelantan kini gelisah dan ketar lutut.
Ini kerana amalan melantik anak dan keluarga terdekat sendiri sangat ketara di negeri Che Siti Wan Kembang ini.
Bukan setakat melibatkan pemimpin kerajaan negeri bahkan juga pemimpin badan-badan utama di bawah kerajaan negeri Kelantan.
Antaranya adalah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) atau SEDC Kelantan.
Menurut sumber, amalan ini juga dilakukan oleh pengurusan tertinggi PKINK di mana anak dan bakal menantu mereka juga mendapat peluang pekerjaan di bawah anak syarikat PKINK.
Menurut sumber yang sama, SPRM sedang menyiasat dakwaan pengurusan tertinggi yang didakwa terlibat amalan kartel dalam pemberian projek.
Sejak dua tahun lepas, PKINK dikatakan telah menambah 30 peratus pekerja termasuk pemain bolasepak yang jawatannya tidak mempunyai sebarang kerja.
Pengkritik utama kerajaan negeri Kelantan, Wan Mahussin Wan Zain juga menyentuh isu ini melalui posting di dalam facebook beliau.
“SPRM perlu masuk SUK dan GLC Kelantan. Anak Beranak dah beranak pinak dalam kerajaan negeri,” tulis beliau dalam postingnya selepas Exco Terengganu Datuk Hanafiah Mat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.
Berdasarkan pertuduhan, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, pemimpin Pas berkenaan didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkenaan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.
Kes bagi kedua-dua pertuduhan tersebut disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
BACA JUGA Perikatan Nasional Keliru Kepimpinan Dan Halatuju